Penempatan haram: 61 PATI dihantar pulang ke Indonesia

Media sebelum ini melaporkan pada awal Februari lalu, JIMNS bersama beberapa agensi penguat kuasa negeri menyerbu sebuah penempatan haram yang dibina sekumpulan PATI dari Indonesia di Nilai Springs, Nilai.
Media sebelum ini melaporkan pada awal Februari lalu, JIMNS bersama beberapa agensi penguat kuasa negeri menyerbu sebuah penempatan haram yang dibina sekumpulan PATI dari Indonesia di Nilai Springs, Nilai.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 61 daripada keseluruhan 67 orang pendatang tanpa izin (PATI) yang ditahan di sebuah penempatan haram di Nilai Spring, Nilai di sini pada 1 Februari lalu, dihantar kembali ke negara asal, pada Rabu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), Kennith Tan Ai Kiang berkata, mereka yang dihantar ke negara asal iaitu Indonesia terdiri daripada tujuh lelaki, 18 perempuan, 20 kanak-kanak lelaki dan 16 orang kanak-kanak perempuan.

"Kesemuanya merupakan kanak-kanak bersama ibu, bapa dan penjaga masing-masing malah mereka yang berkenaan akan disenarai hitam.

"Sementara itu, lima orang lagi telah didakwa di Mahkamah Seremban pada 16 Februari lepas dan dijatuhkan hukuman penjara antara lapan hingga 10 bulan.

"Seorang daripada mereka telah dibebaskan kepada majikan kerana telah berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Jabatan Imigresen Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata, lain-lain perkara berhubung kes berkenaan termasuk tindakan ke atas pemilik tanah masih dalam siasatan jabatan terbabit.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kes berkenaan terutama membabitkan pemilik tanah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pada awal Februari lalu, JIMNS bersama beberapa agensi penguat kuasa negeri menyerbu sebuah penempatan haram yang dibina sekumpulan PATI dari Indonesia di Nilai Springs,Nilai.

Penempatan itu terletak sejauh 1.2 kilometer dari jalan utama, dikesan mempunyai kemudahan sekolah dan hasil serbuan pada jam 1.30 pagi itu seramai 67 orang PATI ditahan, masing-masing berusia antara dua bulan hingga 72 tahun.