Singapura setuju henti sementara rancangan tambak Batu Puteh

Mohamad ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi kementerian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Mohamad ketika menggulung perbahasan titah diraja bagi kementerian pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Singapura bersetuju menghentikan sementara perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan Batu Puteh.

Menurutnya, ia susulan bantahan Malaysia secara lisan dan bertulis yang menegaskan pendirian bahawa Singapura tidak berhak dan tidak wajar meneruskan perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan sehingga kedua-dua negara memuktamadkan sempadan maritim di perairan tersebut.

"Susulan bantahan Malaysia, Singapura telah bersetuju untuk menghentikan sementara perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan Batu Puteh.

"Selain daripada pembatasan sempadan maritim, rundingan bagi membincangkan pelan pembangunan sepihak Singapura di Batu Puteh ini juga telah dimulakan oleh kedua-dua negara," katanya ketika sesi menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa Malaysia dan Singapura bersetuju mengadakan rundingan lebih terperinci terhadap langkah republik itu menambak kawasan sekitar Batu Puteh dalam masa terdekat.

Perkara berkenaan telah dibangkitkan pada pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam lawatan rasminya ke Singapura pada bulan lalu.

Anwar berkata, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah tetapkan Batu Puteh milik Singapura, justeru tindakan Singapura menambak kawasan Batu Puteh adalah berasaskan keputusan perundangan yang sudah diputuskan.

Justeru, Malaysia telah meminta Singapura meneliti semula kerana setiap tambakan memberi kesan sampingan kepada iklim, persekitaran dan persempadanan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kementerian Luar Negeri bersama-sama agensi-agensi teras kerajaan yang berkaitan sedang meneliti perkembangan semasa dan mengkaji tindakan-tindakan yang boleh diambil dari pelbagai aspek termasuk berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik dua hala.

"Sehubungan itu, Malaysia sebagai negara yang bertanggungjawab dan berpendirian, kekal dengan prinsip bahawa perkara ini perlu dikendalikan secara diplomatik dengan niat baik (good faith).

"Harap Singapura juga mengambil tindakan yang sama untuk menghormati dan tidak melaksanakan sebarang keputusan yang mencerminkan niat buruk (bad faith), yang bertentangan dengan semangat dan proses rundingan yang sedang berlangsung di antara kedua-dua negara," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, terma rasmi yang digunakan oleh kerajaan dalam sebarang rujukan adalah 'Batu Puteh' dan bukan 'Pulau Batu Puteh'.

"Kerajaan berpendirian bahawa fitur tersebut adalah sebuah 'batuan' dan bukan sebuah 'pulau', memandangkan ia tidak memenuhi syarat sebagai sebuah pulau menurut Artikel 121 kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan Undang-Undang Laut (KUUL 1982). Ini juga selaras dengan Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 13 Ogos 2008," katanya.