Gesa kerajaan tutup kilang proses nadir bumi di Pahang

Eng Kee (empat dari kanan) bersama-sama aktivis Persatuan Anti Lynas Perak menunjukkan kejadian yang menimpa Kampung Bari Bukit Merah, Menglembu ketika sidang akhbar pada Khamis.
Eng Kee (empat dari kanan) bersama-sama aktivis Persatuan Anti Lynas Perak menunjukkan kejadian yang menimpa Kampung Bari Bukit Merah, Menglembu ketika sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kerajaan digesa menutup operasi kilang memproses nadir bumi di Kuantan, Pahang bagi mengelak insiden pencemaran radioaktif di Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu di sini berulang.

Timbalan Pengerusi Persatuan Anti Lynas Perak, Hon Eng Kee berkata, pihaknya amat menentang kewujudan kilang berkenaan walaupun ia berada di luar Perak.

Menurutnya, penduduk setempat dan alam sekitar akan menerima kesan langsung jika kilang tersebut terus dibenarkan beroperasi.

"Kami kekal berpendirian agar kerajaan tidak membenarkan kilang tersebut meneruskan operasi. Kami sudah melaluinya sebelum ini apabila penduduk menjadi mangsa kepada kerja-kerja memproses nadir bumi itu.

"Bukan kami menolak pelaburan asing ke negara kita tetapi biarlah ia memberikan manfaat kepada rakyat dan bukannya mendatangkan masalah kepada masyarakat setempat dan alam sekitar," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Kampung Baru Bukit Merah, Menglembu di sini pada Khamis.

Eng Kee berkata, pihaknya sedia memberikan sokongan penuh kepada kerajaan supaya syarikat memproses nadir bumi menghentikan operasi mereka di kawasan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anti Lynas Perak, Hew Woon Tat berkata, ketika kejadian pencemaran radioaktif nadir bumi di Kampung Baru Bukit Merah itu berlaku, dia antara yang lantang mendesak kerajaan menutup operasi sebuah kilang berhampiran kawasan berkenaan.

"Saya ketika itu antara aktivis yang menentang kerajaan berhubung operasi kilang nadir bumi oleh sebuah syarikat dari Jepun itu sehingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua minggu.

"Walaupun syarikat memberikan pelbagai janji dan pampasan, sebenarnya ia tidak pun berbaloi jika kesan pencemaran berlaku terhadap alam sekitar serta masyarakat," jelasnya.

Beliau berharap kerajaan berpendirian tegas terhadap syarikat memproses nadir bumi di Kuantan, Pahang itu dan tidak sesekali tunduk dengan syarikat berkenaan.

Menurutnya, keutamaan harus diberikan terhadap keselamatan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Pada 15 Februari lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang memaklumkan lesen kebenaran beroperasi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas Malaysia) boleh dimansuhkan jika syarikat itu masih menghasilkan sisa radioaktif di negara ini selepas Julai ini.

Menurutnya, anak syarikat milik penuh Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) itu perlu mematuhi syarat yang dikenakan sejak Mac 2020, sepanjang tempoh lanjutan lesen selama tiga tahun.