Letak jawatan bukan bermakna Wan Saiful bersalah - Muhyiddin

Muhyiddin (tengah) pada sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.
Muhyiddin (tengah) pada sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai Ketua Penerangan parti itu bukanlah bermakna beliau bersalah dalam kes mahkamah yang dihadapinya.

Muhyiddin sebaliknya menegaskan, tindakan itu dibuat Wan Saiful supaya tidak timbul salah pandangan terhadap parti.

“Saya sudah berjumpa dengan Datuk Wan Saiful pagi tadi (Rabu) dan setelah berbincang, beliau bersetuju untuk meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini. Ia bukan kerana kita mengatakan dia sudah bersalah, tidak.

“Ini satu set standard kerana dia sudah berhadapan dengan tuduhan supaya tak timbul salah pandangan terhadap Bersatu. Beliau sendiri menyatakan akan meletakkan jawatan. Ini satu tindakan yang saya hargai.

“Dia akan hantar surat rasmi tetapi ia (peletakan jawatan) berkuat kuasa hari ini. Ia satu sifat mulia yang saya sanjung supaya dengan cara ini, kita dapat menjawab atas dasar bermaruah. Ini bukan menghukum, tapi dia secara sukarela,” katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.

Justeru, Muhyiddin memaklumkan, tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan akan dipimpin oleh salah seorang daripada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang akan dilantik.

Katanya, lantikan itu akan dibuat secepat mungkin memandangkan parti itu sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Tugas Ketua Penerangan penting dan kita nak menghadapi PRN. Orang yang kita akan namakan nanti akan meneruskan kerja-kerja baik yang telah dibuat oleh Wan Saiful.

“Langkah yang diambil ini akan memudahkan penggantinya menjalankan tugas kerana penerangan ini penting untuk menyebar luas dasar perjuangan, matlamat dan agenda parti serta manifesto yang akan kita keluarkan untuk PRN nanti,” jelasnya.

Pada Rabu, Wan Saiful memaklumkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu susulan kes mahkamah yang dihadapinya.

Pada Selasa, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.

Wan Saiful, 48, atau nama sebenarnya, Wan Saifulruddin Wan Jan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.