Politik stabil dorong ringgit kukuh

Steven Sim ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto: Bernama
Steven Sim ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemulihan keyakinan pelabur terhadap Malaysia selari dengan kestabilan politik mendorong pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, pemulihan sentimen pasaran di peringkat global juga menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit sehingga kini.

“Berhubung dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pula, ringgit telah mencatat pengukuhan sebanyak lebih kurang 3.2 peratus sejak 24 November 2022 sehingga 17 Februari 2023 yang lalu.

“Perkembangan ini juga dipengaruhi oleh faktor penyederhanaan dalam kekuatan dolar AS.

"Ini berikutan jangkaan pasaran bahawa Bank Pusat Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah secara lebih perlahan bagi menangani risiko inflasi di AS yang kini telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan berterusan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kerajaan menyatakan sebab utama pengukuhan nilai mata wang ringgit selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan dengan mata wang asing seperti dolar AS, Singapura dan Rupiah Indonesia serta kesan ke atas ekonomi dan inflasi negara.

Steven turut menjelaskan, perkembangan ini juga menyebabkan pengukuhan nilai mata wang utama dan serantau.

"Prestasi Ringgit turut mendapat kesan positif daripada berita pembukaan sempadan negara China pada 8 Januari 2023 yang telah diumumkan sejak pertengahan Disember tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, faktor-faktor itu telah menyumbang kepada prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

Dalam tempoh itu katanya, meskipun terdapat kejutan luaran yang besar, Keluaran Dalam Negara (KDNK) kita berkembang sebanyak tujuh peratus pada suku keempat 2022 dan seterusnya 8.7 peratus bagi keseluruhan tahun 2022.

“Kadar inflasi pada bulan Disember 2022 telah menyederhana kepada 3.8 peratus berbanding 4 peratus pada bulan November 2022.

“Kadar inflasi bagi suku keempat tahun lepas juga secara keseluruhannya menyederhana kepada 3.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku sebelum itu,” ujar beliau.