Guru maut motosikal ditunggang langgar kereta

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terlibat kemalangan.
Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terlibat kemalangan.
A
A
A
BATU PAHAT - Seorang guru maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah kereta di Kilometer 145 Jalan Johor Bahru -Melaka Semerah dekat sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian pada jam 3.10 petang itu mengakibatkan mangsa, Md Shah Abdullah yang berusia 62 tahun meninggal dunia.

"Kemalangan melibatkan motosikal ditunggang mangsa dan sebuah kereta dipandu wanita berusia 21 tahun. Insiden berlaku semasa kereta itu datang dari arah Batu Pahat menghala ke Parit Kuda.

"Semasa kereta itu sedang membelok ke simpang jalan sebelah kanan, tiba-tiba datang motosikal ditunggang mangsa dari arah yang sama telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa yang berasal dari Batu Pahat telah meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.

"Pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!