Perarakan replika bersenjata: Pas tunggu butiran hasil siasatan

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Ahmad Samsuri
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pas masih menunggu butiran hasil siasatan berhubung perarakan membawa replika senjata ketika Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit 2023) baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Menteri Besar Terengganu bersama Persatuan Anak-anak Terengganu di Selangor dan Wilayah Persekutuan (Pesat) yang diadakan di sebuah hotel di sini.

“Jika sekiranya mereka merasakan ada kekurangan dan kelemahan dan sebagainya, tentu mereka akan berkomunikasi dengan penganjur untuk tindakan yang seterusnya.

“Jadi saya rasa kita tunggu secara rasmi maklum balas daripada pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, tiada apa yang perlu dibimbangkan berhubung isu sekumpulan Pemuda Pas Terengganu yang membawa senjata palsu dan perisai ketika program berkenaan.

Beliau menyifatkan program membawa replika dan simbolik adalah program biasa yang dibuat sebelum ini dalam pelbagai acara di negara ini.

“Program (perarakan) membawa replika dalam pelbagai bentuk ini sudah lama diamalkan di tempat lain.

“Kebimbangan yang tidak berasas pada mereka yang bimbang, saya pun tak faham apa yang mereka bimbangkan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau mengetahui perhimpunan berkenaan namun tidak terlibat secara langsung dengan program tersebut.

“Saya tahu mengenai perhimpunan itu tapi butirannya saya tidak tahu dan saya juga tidak berkesempatan untuk ke sana,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi amaran kepada semua pihak agar menghentikan apa jua perbuatan yang berpotensi menimbulkan huru-hara kepada rakyat dan negara.

Menurutnya, tindakan tegas akan diambil kepada sebarang elemen yang mengancam ketenteraman, keharmonian dan keselamatan rakyat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.