Malaysia kutuk pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara

Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua pada Sabtu lepas. - Foto KCNA/ Reuters
Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua pada Sabtu lepas. - Foto KCNA/ Reuters
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara baru-baru ini termasuk pelancaran peluru berpandu balistik antara benua pada Sabtu lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Malaysia amat kesal dengan insiden yang merupakan ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan sejagat.

"Tindakan Korea Utara itu hanya meningkatkan lagi ketegangan serantau dan menghalang prospek keamanan yang berkekalan di Semenanjung Korea.

"Malaysia menggesa Korea Utara supaya mengelak daripada mengambil sebarang tindakan provokatif dan menyalahi undang-undang, mematuhi kewajipan di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komitmen antarabangsa berkaitan dan segera menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistik.

"Adalah mustahak juga bagi pihak yang berkenaan menyambung semula dialog untuk mencapai pelucutan senjata nuklear secara menyeluruh, boleh disahkan dan tidak boleh diubah di Semenanjung Korea,” menurut kenyataan itu.

Dilaporkan bahawa Korea Utara menguji ICBM Hwasong-15 pada Sabtu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang.

Peluru berpandu Hwasong-15 mampu mencapai ketinggian maksimum 5,768 kilometer (3,584 batu), meliputi jarak 989 km. - Bernama