Kalkulator Fidyah Puasa mudahkan umat Islam buat kiraan

Abdul Aziz (kiri) melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa MAIS 2023 di sebuah hotel di Shah Alam pada Selasa.
Abdul Aziz (kiri) melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa MAIS 2023 di sebuah hotel di Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa 2023 bagi memudahkan umat Islam membuat pengiraan bayaran ganti puasa.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, platform digital kalkulator itu adalah sebagai ganti kaedah manual yang digunakan sebelum ini.

Menurutnya, selain membuat kiraan dengan pantas dan tepat, pengguna boleh membuat bayaran terus menerusi aplikasi tersebut.

"Terdapat tiga kadar bayaran iaitu RM2, RM4 dan RM6 bergantung kepada jenis beras dimakan dan jumlah puasa yang ditinggalkan.

"Ada yang bayar fidyah hingga RM3,000. Mudah-mudahan dengan cara ini, lebih ramai ada kesedaran untuk bayar fidyah," katanya pada Majlis Hi-Tea Rakan Media dan Rakan Strategik serta Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa MAIS 2023 di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Turut hadir, Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Jelas Abdul Aziz, menerusi pelancaran tersebut, MAIS menyasarkan kutipan fidyah RM20 juta pada tahun ini berbanding RM12.3 juta tahun lepas.

Dalam masa sama, beliau berpandangan bahawa kesedaran umat Islam mengenai fidyah masih di tahap rendah.

"Kebanyakannya kurang faham mengenai bayaran tersebut. Mereka selalu dengar pasal fidyah tapi mereka tak tahu.

"Apabila sudah faham, baharulah boleh tebus dengan bayar kepada yang layak," katanya.

Kalkulator Fidyah Puasa boleh dilayari menerusi laman web MAIS di www.mais.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!