'Jangka lebih ramai pemimpin PN jadi mangsa pendakwaan terpilih'

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) menjangkakan lebih ramai pemimpin daripada gabungan parti itu akan dikaitkan dengan pendakwaan 'terpilih'.

Ia susulan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Selasa atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pendakwaan terpilih ibarat sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana mendakwa persepsi negatif terhadap PN telah dibina lebih awal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Ya (jangka ramai pemimpin PN akan terpalit pendakwaan terpilih). Saya tengok ia lebih bersifat pendakwaan terpilih. Ini persiapan untuk PRN, tentu ada kaitan kenapa kita boleh buat dan sebagainya.

"Bahkan kes PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) sudah selesai semua, sudah bincang satu persatu tetapi persepsi terus dibina atas benda macam itu.

"Sepatutnya bila sudah teratur, PAC sendiri pun kita (Parlimen) telah tubuhkan, kita beri mandat sepatutnya...Kita hargai keputusan PAC," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya membuat spekulasi awal sebaliknya perlu menyerahkan kepada jawatankuasa penyiasatan.

"Bila perdana menteri buat persepsi awal, itu yang menimbulkan gelombang yang tidak betul. Kalau ada kes, kita serahkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada Selasa mendakwa parti itu menjadi mangsa pendakwaan terpilih selepas Wan Saiful didakwa atas dakwaan rasuah bernilai RM6.9 juta.

Jelasnya, setiap politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti malah Perlembagaan membenarkan sumbangan diterima daripada ahli, orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti.

Muhyiddin turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) juga telah menerima dana daripada penyokong dan beliau mempersoalkan mengapa pemimpin mereka tidak didakwa di mahkamah.