Ini satu tuduhan yang tak sepatutnya berlaku: Wan Saiful

Wan Saiful pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Wan Saiful pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Sesyen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan tuduhan berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) ke atasnya tidak sepatutnya berlaku.

Beliau mendakwa, tuduhan sedemikian sengaja dibuat bagi mengalih perhatian orang ramai terhadap kegagalan kerajaan dalam menguruskan pelbagai isu yang timbul.

"Sekarang adalah keadaan kita patut fokus kepada kebajikan dan situasi yang melanda rakyat, pada kos sara hidup serta barang-barang keperluan asas yang harganya naik melambung.

"Begitu juga dengan tuntutan untuk keluarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar yang hari-hari disuarakan oleh rakyat di pelbagai peringkat.

"Tetapi apa yang berlaku ialah diwujudkan pertuduhan sebegini untuk mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan untuk mengeluarkan idea baharu bagi menyelesaikan masalah rakyat," katanya pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Sesyen pada Selasa.

Sebelum ini, Wan Saiful dilaporkan menghadapi proses pertuduhan di Mahkamah Sesyen pada Selasa berhubung projek Jana Wibawa.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan kes rasuah bagi projek ‘Central Spine Road’ bernilai RM232 juta, tahun lalu.

Beliau membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Wan Saiful, 48, dalam pada itu juga yakin dapat membuktikan beliau tidak bersalah terhadap tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

"Alhamdulillah proses untuk hari ini telah selesai. Saya bersyukur sebab saya ada satu pasukan peguam bela yang kukuh.

"Tadi saya mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan. Saya yakin dengan proses mahkamah kita akan dapat buktikan bahawa tidak ada sebarang kesalahan yang dilakukan," ujarnya.