PR1MA: PKP, kekurangan pekerja punca lewat siap

Laporan Sinar Harian berkenaan keluhan pemilik rumah PR1MA pada Ahad.
Laporan Sinar Harian berkenaan keluhan pemilik rumah PR1MA pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Kerja-kerja pembinaan yang tertangguh ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan pembinaan projek PR1MA Residensi Seremban Sentral di sini mengalami kelewatan dari tarikh awal jangkaan siap.

PR1MA dalam kenyataan kepada Sinar Harian menjelaskan, status kemajuan pembangunan projek itu setakat 13 Februari lalu adalah 99.54 peratus.

"Kesan PKP, masalah kekurangan pekerja turut dialami kontraktor lantikan PR1MA untuk projek ini iaitu Brunsfield Engineering Sdn Bhd (Brunsfield). Mereka memberi jaminan bahawa masalah kekurangan tenaga pekerja akan dapat diatasi dalam masa terdekat.

"Buat masa ini, kerja fizikal bagi unit rumah sudah siap sepenuhnya dan sedang dalam proses pemeriksaan serta pembaikan kecacatan bangunan.

"Baki kerja pula adalah tertumpu kepada penyiapan infrastruktur luaran seperti kolam takungan air, jalan, paip retikulasi air, pemasangan kabel elektrik dan pengindahan Sungai Temiang," katanya.

Menurut kenyataan PR1MA, Brunsfield kini giat mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa terbabit bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dan kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Justeru, tarikh jangkaan siap bagi projek berkenaan dilanjutkan ke suku kedua 2023.

"PR1MA juga mengambil maklum mengenai bebanan pembayaran pinjaman perumahan yang terpaksa dihadapi pembeli.

"Setakat 30 Jun 2022, sebanyak 141 pembeli layak menerima Ganti rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) membabitkan pembayaran lebih RM1.3juta.

"LAD ini akan dibayar kepada penerima selepas serahan milikan kosong (Vacant Possession) yang dijangka pada 30 Jun 2023, seperti yang diperuntukkan di bawah Klausa 26(2) Perjanjian Jual Beli," katanya.

Ujarnya, PR1MA bersama Brunsfield telah mengadakan sesi libat urus yang bersama wakil pembeli residensi pada 18 Februari 2023 bagi memberi penerangan yang terperinci berkenaan status projek dan kemas kini di lapangan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sudah tiga tahun berlalu, namun kira-kira 200 pembeli apartmen berkenaan masih menagih janji pemaju untuk menyerahkan kunci rumah mereka.

Lagi menyedihkan, pembeli yang majoritinya kakitangan awam kini cukup terbeban kerana terpaksa menyewa rumah dan perlu membayar ansuran bulanan rumah itu