Rokok seludup bernilai RM1.49 juta dirampas

Wan Apandi bersama pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas.
Wan Apandi bersama pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang menunjukkan sebahagian rokok yang dirampas.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas dua juta batang rokok dianggarkan bernilai RM1.49 juta yang ditemui dalam sebuah lori ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Anak Ikan, Jerteh, Terengganu, 12 Februari lalu.

Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, dalam pemeriksaan kira-kira jam 6.30 pagi itu, tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Menurutnya, kejayaan rampasan itu hasil maklumat ampoma (pemberi maklumat) yang melaporkan berhubung pergerakan lori disyaki membawa rokok seludup di laluan itu.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang ke lokasi bagi tujuan pantauan sebelum menemui lori tujuh tan yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di stesen minyak tersebut.

"Pemeriksaan segera dilakukan selepas mendapati lori itu sama dengan hasil maklumat yang diterima sebelum itu.

"Pemeriksaan pada bahagian muatan yang ditutupi kanvas mendapati lori tersebut membawa beberapa kotak berisi rokok putih disyaki tidak bercukai (barangan larangan import)," katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM Pahang, Indera Mahkota di sini pada Selasa.

Wan Apandi berkata, lori yang dianggarkan bernilai RM55,000 itu turut dirampas.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah lebih RM1.5 juta.

"Semua barang rampasan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak terlibat dalam kegiatan itu termasuk pemilik lori yang digunakan.

"Pihak kami juga sedang mengenal pasti sama ada lori tersebut dalam perjalanan membawa masuk bekalan rokok seludup itu ke Pantai Timur atau sebaliknya.

"Kita tidak menolak kemungkinan pergerakan lori membawa rokok tidak bercukai ini aktif pada waktu malam dan awal pagi bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.