Prasarana laksana projek rintis van e-panggilan

Anthony Loke ketika sesi menjawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Anthony Loke ketika sesi menjawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Berhad dan sebuah syarikat, Kumpool sedang mengadakan projek rintis perkhidmatan van e-panggilan sebagai perantara antara rumah kediaman dengan stesen pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan yang disediakan itu dengan bayaran tambang berpatutan iaitu RM1 untuk setiap kali penggunaan.

"Kita memang bersedia untuk menambah perkhidmatan ini di stesen-stesen lain di semua rangkaian laluan yang sedia ada,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk R. Ramanan (PH-Sungai Buloh) mengenai usaha kerajaan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih optimum dan menyeluruh pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa,

Difahamkan perkhidmatan berkenaan beroperasi di Wangsa Maju dan Alam Megah di Shah Alam, Selangor.

Loke berkata, Kementerian Pengangkutan juga sedang berbincang dengan pihak syarikat e-panggilan untuk memperkenalkan konsep ‘ride sharing’ yang membenarkan pemandu e-panggilan untuk mengambil lebih daripada seorang penumpang.

"Itu secara langsungnya akan menurunkan kadar tambang untuk pengguna e-panggilan,” katanya.

Menjawab soalan asal Ramanan sekiranya perkhidmatan bas pengantara akan digandakan kerana masih ada penumpang yang menggunakan khidmat e-panggilan untuk ke stesen pengangkutan awam, Loke berkata, penumpang mempunyai pilihan berdasarkan keperluan masing-masing.

"Dalam situasi semasa, bagi penumpang yang boleh mengikuti jadual perjalanan yang disediakan secara berjadual dan sistematik, maka mod perkhidmatan bas pengantara akan menjadi pilihan mereka.

"Sekiranya penumpang tidak mahu mengikuti jadual perjalanan yang ditetapkan, penumpang boleh memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-panggilan atau teksi,” katanya. - Bernama