PATI semakin berani, bina penempatan atas tanah kerajaan

Pemandangan dari udara sebuah perkampungan haram di Nilai Spring yang diserbu Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada 1 Februari lalu. - Foto Bernama
Pemandangan dari udara sebuah perkampungan haram di Nilai Spring yang diserbu Jabatan Imigresen dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu pada 1 Februari lalu. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Isu kependudukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Malaysia dalam menggunakan tanah kerajaan untuk dijadikan tempat berteduh bukanlah satu perkara baharu.

Mereka seolah-olah tidak takut dengan pihak berkuasa apabila jumlah kemasukannya semakin meningkat sedangkan operasi penangkapan PATI giat dijalankan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tentang kejayaan Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan yang berjaya menahan seramai 67 PATI hasil Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring.

Lebih mengejutkan penempatan didiami mereka bukanlah kawasan biasa yang tidak mempunyai sebarang kemudahan, sebaliknya wujudnya persekolahan dengan pendedahan silibus pendidikan negara jiran selain dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik.

Terbaharu, laporan memaklumkan bahawa Lembah Klang turut menjadi ‘kawasan panas’ penempatan warga asing dan lebih mengejutkan mereka sudah mendiami lokaliti berkenaan melebihi 30 tahun.

Menurut Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Profesor Dr Mohd Mizan Mohd Aslam, kawasan itu menjadi tumpuan PATI berasaskan faktor lokasi yang strategik dengan mempunyai akses jaringan mampan.

Benar, perkara itu tidak dapat dinafikan kerana susuk tubuh golongan berkenaan sering kali dilihat di kawasan bandar dan mereka juga turut menggunakan kemudahan pengangkutan awam yang disediakan.

Mohd Mizan turut memaklumkan jumlah kasar tidak rasmi PATI di Lembah Klang termasuk etnik Rohingya sudah mencecah 500,000 hingga 600,000 orang.

Beliau juga menjelaskan lambakan PATI di kawasan berkenaan adalah berpunca daripada peluang pekerjaan yang terbuka luas buat mereka.

Jika diteliti semula, memang benar kerana industri pembangunan dan pembinaan banyak menggaji PATI sebagai pekerja.

Justeru, bagi membendung perkara berkenaan, pihak berkuasa perlu memperbanyakkan lagi operasi penangkapan pendatang haram.

Perkara itu juga perlu disusuli dengan usaha kerajaan dalam menyediakan program khusus berkaitan bidang pembinaan supaya anak muda masa kini lebih tertarik untuk melibatkan diri dalam industri berkenaan.