Projek Jana Wibawa: Ketua penerangan parti politik didakwa esok

Seorang ketua penerangan sebuah parti politik tanah air berpangkat Datuk akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa, berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). - Gambar hiasan
Seorang ketua penerangan sebuah parti politik tanah air berpangkat Datuk akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa, berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ketua penerangan sebuah parti politik tanah air berpangkat Datuk akan didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa, berhubung projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Beliau yang juga seorang ahli Parlimen telah dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.

Agensi itu turut dilaporkan telah menahan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat bagi membantu siasatan kes sama.

Kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, malam Isnin sebelum dihadapkan ke mahkamah, untuk proses pertuduhan.

Pada pagi Isnin, Sinar Harian melaporkan, beberapa senarai Surat Setuju Terima (SST) yang dikeluarkan menerusi projek di bawah Jana Wibawa, melibatkan ahli keluarga pemimpin utama parti politik tertentu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, SPRM setakat ini belum dapat mengenal pasti nilai sebenar projek itu.

Untuk rekod, Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mempercepat pelaksanaan projek untuk merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik Covid-19.

Ia juga bertujuan meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.