NRECC perkasa inisiatif bandar rendah karbon

Nik Nazmi - Foto Bernama
Nik Nazmi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) terus memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon melalui kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan transformasi ke arah bandar rendah karbon menyumbang secara signifikan kepada pengurangan impak perubahan iklim di Malaysia.

Beliau berkata, PBT disaran menetapkan hala tuju dan pendekatan bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon ke arah mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca berdasarkan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM) yang dilancarkan pada 2021.

"Perancangan dan pembangunan bandar mampan dan transformasi kepada bandar rendah karbon dapat membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik pelaburan domestik dan antarabangsa," katanya pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di sebuah hotel di Seksyen 14 di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Sri Huang Tiong Sii; Ketua Setiausaha NRECC, Datuk Rosli Isa dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

Menurutnya, kementerian juga akan mengadakan sesi libat urus melibatkan kerajaan negeri dan PBT-PBT mengikut zon pada tahun ini bagi memberi penerangan pelaksanaan NLCCM selaras dengan sasaran untuk mewujudkan 200 zon rendah karbon dan 1,000 rakan kongsi rendah karbon di seluruh negara menjelang 2030.

"Adalah penting negara terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim bagi mencapai aspirasi negara untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050.

"Ini tertakluk kepada hasil pembangunan strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon (Long-Term Low Emissions Development Strategy/ LT-LEDS) negara," katanya turut menyampaikan Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 kepada 80 penerima anugerah.

Penerima anugerah terdiri daripada badan-badan kerajaan dan organisasi swasta terlibat dalam pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (Low Carbon Cities 2030 Challenge - LCC2030C).

Tiga penyertaan diberikan pengiktirafan Reka Bentuk Diamond yang berpotensi mengurangkan kadar pelepasan GHG melalui pelaksanaan strategi bandar rendah karbon di peringkat reka bentuk.

Sementara itu, 11 penyertaan diberikan Provisional Certificate atas usaha pembangunan data penanda aras dan pelan tindakan rendah karbon dalam kawasan zon dan rakan kongsi rendah karbon.