Nilai industri vape meningkat kepada RM2.49 bilion - DPVM

Infografik mengenai nilai industri vape oleh DPVM. (Gambar kecil: Ridhwan)
Infografik mengenai nilai industri vape oleh DPVM. (Gambar kecil: Ridhwan)
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) menegaskan bahawa industri rokok elektronik dapat memberi sumbangan bernilai kepada ekonomi negara selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

Setiausaha Agungnya, Ridhwan Rosli berkata, ia dibuktikan dengan peningkatan nilai terkini industri vape iaitu sebanyak 9.6 peratus menjadi RM2.49 bilion berbanding RM2.27 bilion pada 2019.

Justeru ujarnya, dari segi peluang pekerjaan pula, pihak DPVM menganggarkan seramai 31,500 pekerja secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam industri vape.

“Penemuan ini adalah petunjuk jelas tentang potensi kukuh dan daya tahan industri walaupun terkesan ekoran pandemik.

"Selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk ramai rakyat Malaysia, industri vape juga telah berkembang untuk mengukuhkan ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menarik lebih banyak pelaburan.

"Justeru, industri ini bersedia untuk menyumbang hasil yang besar kepada negara, dengan penganalisis ekonomi menganggarkan bahawa kerajaan boleh mengutip sehingga RM1 bilion hasil cukai eksais sebaik peraturan bermula serta memberikan keyakinan kepada pelabur untuk mencurahkan lebih banyak pelaburan domestik dan asing," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ridhwan, pihaknya juga menganggarkan jumlah pengguna vape di Malaysia meningkat sehingga 1.5 juta pengguna.

Katanya, menerusi data awal, ia susulan peningkatan jumlah jualan produk vape di pasaran.

"Jadi, ini menambah kepada keperluan peraturan dengan segera untuk memastikan pengguna vape mempunyai akses kepada produk yang dikawal selia dengan standard kualiti dan keselamatan," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bilangan kedai vape telah menurun iaitu daripada 3,000 kepada 2,250 berkemungkinan disebabkan oleh situasi pandemik dalam beberapa tahun lalu yang mengakibatkan banyak pengusaha gulung tikar.

"Tetapi pada masa yang sama, penemuan itu juga menunjukkan bahawa industri telah memperluaskan saluran jualannya dengan produk vape kini turut dijual di kedai-kedai runcit am.

"Berdasarkan penemuan DPVM, terdapat kira-kira 7,500 kedai runcit am yang juga menjual produk vape," katanya.