Kementerian cadang tubuh Jabatan Kanak-Kanak

Nancy Shukri ketika lawatan kerja ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sini, pada Isnin.
Nancy Shukri ketika lawatan kerja ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sini, pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang untuk menubuhkan Jabatan Kanak-Kanak bagi menangani isu kanak-kanak termasuk jenayah terhadap mereka.

Menterinya, Datuk Sri Nancy Shukri berkata, sebelum ini, kementerian itu sudah mencadangkan perkara itu kepada kabinet, namun ia ditolak kerana membabitkan peruntukan yang terlalu besar.

"Saya akan kemukakan cadangan kepada mesyuarat kabinet Jumaat ini sekali lagi, kita terus mendesak bagi mewujudkan jabatan ini.

"Cadangan yang dibawa ini adalah holistik, yang penting kita kena usaha sebagai titik permulaan," katanya selepas lawatan kerja ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di sini, pada Isnin.

Nancy berkata, hasil lawatan itu, beliau mendapati Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan peralatan terkini dan penambahan kakitangan untuk menangani kes-kes jenayah di bawah D11.

"Kita mendapati D11 memerlukan peralatan komputer terkini dengan data tinggi bagi kes-kes pornografi selain bekerjasama dengan bertukar maklumat dengan pihak berkuasa luar," katanya.

Beliau berkata, perbincangan keseluruhan lebih kepada isu kanak-kanak.

"Pihak kementerian akan sentiasa menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak polis yang saling memerlukan terutamanya isu-isu jenayah membabitkan kanak-kanak dan wanita," katanya.

Sebelum ini, KPWKM akan mewujudkan jabatan khas bagi melindungi kanak-kanak termasuk melibatkan isu penderaan dan pengabaian.

Nancy dilaporkan berkata, penubuhan jabatan itu sudah dipersetujui secara prinsipal oleh kabinet termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.