‘Tak wajar tawar latihan kemahiran kepada etnik Rohingya’

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang mempersoal tindakan kerajaan untuk menawarkan latihan kemahiran kepada etnik Rohingya yang diterima sebagai pelarian di negara ini.

Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) berkata, kerajaan tidak sewajarnya membuka lebih banyak ‘ruang’ kepada pelarian berkenaan kerana ia bakal memberi kesan negatif pada masa akan datang.

“Saya yakin kalau etnik Rohingya diberikan latihan, mereka juga akan diberi peluang untuk memegang jawatan di sektor pekerjaan negara kita.

“(Jadi) Saya harap kerajaan memberi perhatian kepada perkara ini (kerana ia melibatkan masa depan negara),” katanya ketika membahaskan Usul Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Jelas Ismail, kerajaan seharusnya mencari kaedah untuk membantu rakyat terutamanya anak muda yang masih ramai menganggur ketika ini.

“Saya tidak tahu kenapa kerajaan bercadang untuk mengadakan latihan kepada etnik Rohingya yang berada di negara kita.

“Sedangkan, beratus ribu lagi rakyat kita yang tidak ada pekerjaan. Jadi mereka ini (rakyat kita) yang perlu dibantu supaya ada pekerjaan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Malaysia akan membantu pelarian Myanmar khususnya etnik Rohingya untuk mengikuti latihan kemahiran bagi membolehkan warganegara itu mendapat pekerjaan.