Aktiviti haram: Mahkamah benar lucut hak baki prabayar RM3.4 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak baki wang kad prabayar, berjumlah lebih RM3.4 juta milik 533 pelanggan Digi Telecomunication Sdn Bhd, yang dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti haram.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu, selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Allan Suman Pillai yang dilakukan mengikut Seksyen 407 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593), terhadap syarikat telekomunikasi itu sebagai responden.

Allan ketika prosiding itu memaklumkan permohonan itu melibatkan sitaan berjumlah RM3,417,981.66 baki kad prabayar daripada 773 jumlah akaun talian prabayar, milik 533 pelanggan.

Digi Telecommunications Sdn Bhd selaku responden yang diwakili Penasihat Kanan Undang-Undangnya V.Muraliharan, turut tidak membantah permohonan itu.

Berdasarkan afidavit permohonan, pihak responden telah melakukan siasatan dalaman bagi menyiasat berkenaan ketidakpuasan hati pelanggannya, yang banyak menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mempelawa menyertai judi secara dalam talian.

Bagaimanapun, pihak responden menyatakan bahawa platform untuk judi secara dalam talian itu tidak disediakan oleh syarikat berkenaan dan memaklumkan nilai kredit dalam kad prabayar boleh dimanipulasikan untuk bermain judi secara dalam talian.

Digi juga menyatakan bahawa syarikat itu tidak mempunyai akses sepenuhnya kepada platform Republik GG, dan platform itu dikawal penuh oleh syarikat Inonex dan pihaknya tidak dapat mengesan sekiranya tambah nilai baki kredit itu digunakan untuk aktiviti haram berkenaan.

Pada masa yang sama siasatan SPRM mendapati terdapat pengguna kad prabayar yang mempunyai baki kredit yang terlalu banyak dan mencurigakan, dipercayai digunakan untuk tujuan aktiviti haram.

Pada Nov 2020, SPRM telah menyita baki kredit pengguna kad prabayar milik 593 pengguna yang mempunyai baki melebihi RM3,000 dan ke atas, yang membawa kepada sitaan berjumlah RM4.2 juta daripada pihak responden.

Pihak SPRM juga telah mengarahkan pihak responden untuk mengeluarkan notis sebanyak empat kali kepada pengguna-pengguna tersebut, dan memaklumkan kepada mereka untuk membuat tuntutan terus dengan pihak SPRM iaitu bermula dari tarikh antara 21 November 2020 hingga 15 Jun 2021.

Terdapat 60 orang individu telah membuat tuntutan balik dengan pihak SPRM dan berjaya mendapat semula baki kredit akaun prabayar mereka berjumlah RM835,638.43, setelah didapati tidak terlibat dalam kegiatan pengubahan wang atau aktiviti yang haram. - Bernama