2,500 sertai Larian Jubli Perak PTPTN

Tawar cabutan hadiah bernilai RM15,000

Mohammad Yusof (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan hadiah utama sebuah televisyen bersaiz 55 inci kepada peserta, Norazlan Khamis (tiga dari kiri).
Mohammad Yusof (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan hadiah utama sebuah televisyen bersaiz 55 inci kepada peserta, Norazlan Khamis (tiga dari kiri).
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 2500 peserta menyertai program Larian Jubli Perak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Anjung Floria, di sini pada Ahad.

Berkonsepkan fun run dengan tema ‘Cergas, Cerdas dan Ceria’ melibatkan jarak larian sejauh lima kilometer menerusi kategori kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, tema ini dipilih sebagai menyokong konsep kesihatan secara menyeluruh merangkumi kesempurnaan dari aspek fizikal, mental dan sosial.

Mohammad Yusof  (lima dari kiri) diiringi Abdul Razak (tiga dari kiri) dan Ahmad Dasuki  (kiri) melepaskan peserta larian.
Mohammad Yusof  (lima dari kiri) diiringi Abdul Razak (tiga dari kiri) dan Ahmad Dasuki  (kiri) melepaskan peserta larian.

Menurutnya, bagi membina kehidupan lebih sihat, masyarakat hendaklah mengutamakan kecergasan dari aspek kesihatan, kecerdasan dari segi pemikiran dan ceria dari segi mental dan emosi.

“Dalam membentuk Malaysia Madani yang menjadi kerangka visi baharu negara, sukan merupakan amalan gaya hidup sihat yang dapat menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Selain itu sukan juga dapat menyemai sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Program Larian Jubli Perak PTPTN.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Peserta larian mengabadikan kenangan dengan tetamu kehormat yang hadir.
Peserta larian mengabadikan kenangan dengan tetamu kehormat yang hadir.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, Larian Jubli Perak PTPTN yang dianjurkan ini merupakan simbolik bagi penutup Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN yang turut menawarkan cabutan hadiah bernilai RM15,000.

“Penganjuran program ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain menghargai para pelanggan yang tidak pernah jemu memberi sokongan kepada PTPTN,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai hala tuju PTPTN, bagi tahun 2023, beliau yakin PTPTN akan lebih cemerlang dan terserlah sebagai sebuah institusi penabungan dan pengurus utama dana bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, usaha pembudayaan penabungan akan terus dipergiatkan dengan menyebarluas pelbagai keistimewaan dan manfaat Simpan SSPN seperti perlindungan takaful ke atas pendeposit.

“Geran Sepadan maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” jelasnya.

Mohammad Yusof (tiga dari kiri), Abdul Razak (dua dari kiri) dan Ahmad Dasuki (tiga dari kanan) turut bersama menyertai Larian Jubli Perak PTPTN di Anjung Floris pada Ahad.
 
Mohammad Yusof (tiga dari kiri), Abdul Razak (dua dari kiri) dan Ahmad Dasuki (tiga dari kanan) turut bersama menyertai Larian Jubli Perak PTPTN di Anjung Floris pada Ahad.  

Tambahnya lagi, sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN terus komited dalam agenda pendigitalan PTPTN agar kemudahan yang disediakan adalah selari kecanggihan teknologi masa kini serta memastikan pelanggan menerima perkhidmatan yang terbaik.

“Saya berharap masyarakat dapat memanfaatkan kemudahan aplikasi myPTPTN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” ujarnya.