Warga bandar diminta guna pengangkutan awam

Chean Chung ketika menggunakan pengangkutan awam untuk ke Parlimen. - Foto Facebook Lee Chean Chung
Chean Chung ketika menggunakan pengangkutan awam untuk ke Parlimen. - Foto Facebook Lee Chean Chung
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menyarankan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai permulaan ke arah penyelesaian sistem tersebut yang lebih baik.

Justeru, Chean Chung menyatakan kesediaan semua warga bandar diperlukan bagi menyesuaikan gaya hidup dan corak perjalanan masing-masing dalam menggunakan pengangkutan awam berkenaan.

"Bukan rahsia lagi bahawa sistem pengangkutan awam di negara ini masih tidak mencukupi untuk kita mempunyai pilihan perjalanan yang selamat, berpatutan dan selesa.

"Kami (kerajaan) membelanjakan berbilion-bilion dalam membina sistem rel bandar namun masih bergelut untuk mengatasi ketersambungan jarak jauh yang membolehkan orang ramai menaiki pengangkutan awam dengan mudah.

"Ia bukan sahaja memerlukan komitmen daripada menteri sendiri atau kementerian dan ahli Parlimen tetapi juga kesediaan semua warga bandar untuk menyesuaikan gaya hidup dan corak perjalanan dalam menggunakan pengangkutan awam," katanya di Facebook pada Isnin.

Pada Isnin, media melaporkan perkhidmatan bas perantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen yang bermula Isnin dijangka dapat mengurangkan kesesakan, sekali gus memberi kemudahan kepada kakitangan Parlimen.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setiap hari sekurang-kurangnya 2,000 kenderaan memasuki bangunan Parlimen dengan jumlah parkir yang disediakan kurang 500 lot.

Selain itu, penyediaan perkhidmatan berkenaan juga, kata Anthony, bagi menggalakkan orang ramai termasuk pengamal media dan ahli Parlimen untuk menggunakan pengangkutan awam.

Chean Chung (dua dari kiri) menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen yang bermula pada Isnin - Foto Facebook Lee Chean Chung
Chean Chung (dua dari kiri) menggunakan perkhidmatan bas perantara percuma dari KL Sentral ke bangunan Parlimen yang bermula pada Isnin - Foto Facebook Lee Chean Chung

Chean Chung juga mengajak orang ramai untuk mengambil langkah kecil tersebut sebagai permulaan perjalanan ke arah penyelesaian pengangkutan awam yang lebih baik, saksama dan mampan bukan hanya untuk segelintir orang tetapi untuk semua pihak.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Anthony kerana berani dalam menangani isu utama tersebut dengan menunjukkan bahawa jarak terakhir boleh dihubungkan walaupun dengan bangunan Parlimen.

"Sebagai salah seorang penumpang pertama yang menyertai perjalanan ini, saya juga berbesar hati untuk berkongsi mengenai keseluruhan perjalanan saya pada hari ini.

"Ia bermula dari rumah saya di Sunway dengan disokong sepenuhnya oleh Perkhidmatan Transit Aliran Bas (BRT), Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan sedikit berjalan kaki yang sangat menyenangkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Chean Chung menyatakan beliau yang menggunakan pengangkutan awam ke Parlimen hanya mengambil perjalanan selama 1 jam 30 minit dengan bertolak dari Sunway pada jam 7.30 pagi dan selamat sampai ke lokasi tersebut pada jam 9 pagi.