Pusat Jantung, Hospital Serdang terima 300 naskhah al-Quran

Dr Amin Sah (tengah) mewakili Pusat Jantung, Hospital Serdang menerima sumbangan al-Quran Wakaf untuk Ummah daripada wakil WUIF, Hashim.
Dr Amin Sah (tengah) mewakili Pusat Jantung, Hospital Serdang menerima sumbangan al-Quran Wakaf untuk Ummah daripada wakil WUIF, Hashim.
A
A
A

SERDANG - Pusat Jantung, Hospital Serdang menyambut baik sumbangan 300 naskhah al-Quran wakaf daripada sumbangan orang ramai melalui kempen Al-Quran Wakaf untuk Ummah bagi kegunaan warga kerja, pesakit dan pengunjung.

Sesi penyerahan al-Quran tersebut disampai oleh wakil Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Hashim Anang kepada pihak hospital yang diwakili oleh Pengarah Hospital Serdang, Dr Amin Sah Ahmad di Pusat Jantung, Hospital Serdang pada 16 April lalu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Jabatan Kardiologi, Datuk Dr Abd Kahar Abd Ghapar; Ketua Jabatan Rehabilitasi, Dr Saari Bin Mohd Yatim; Ketua Unit Radiologi Jantung, Dr Yusri Mohamed; Ketua Unit Hal Ehwal Islam, Muhammad Hafiz Bakren; dan Pegawai Teknologi Maklumat, Mohd Khairul Nizam Mohd Asari.

Menurut Dr Amin Sah, sumbangan al-Quran tersebut begitu bermakna bagi pihak hospital yang mengamalkan konsep Hospital Mesra Ibadah (HMI).

Pada 20 Julai 2022, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memberi pengiktirafan HMI kepada Hospital Serdang.

Antara perkhidmatan dan kemudahan disediakan seperti bilik solat lelaki dan wanita di setiap aras, peralatan asas untuk solat, tanda arah kiblat di setiap bilik solat dan wad, bacaan doa pagi oleh petugas hospital, kemudahan kit wuduk pesakit di wad, poster, risalah dan panduan solat bagi pesakit wad.

“Alhamdulillah, pihak hospital mendapat kerjasama dengan Jakim untuk membangunkan kemudahan untuk beribadah kepada pesakit. Para asatizah dan petugas kesihatan yang dilatih turut membantu dalam memberi bimbingan tatacara wuduk dan solat bagi pesakit di wad," katanya.

Pusat Jantung di bawah Hospital Serdang telah dibuka sejak 12 Disember 2023. Sumbangan al-Quran wakaf tersebut ditempatkan di sudut Quran Corner di semua surau, klinik dan wad di premis tersebut.

“Al-Quran merupakan syifa atu penawar bagi segala penyakit. Melihat al-Quran pun boleh dapat pahala. Apatah lagi jika kita membaca, menghayati dan memanfaatkan al-Quran dalam kehidupan, ia boleh membawa manfaat di dunia dan akhirat.

“Sakit merupakan ujian yang membawa rahmat bagi manusia yang mensyukuri nikmat ALLAH SWT. Ziarah pesakit adalah antara aktiviti petugas di Unit Hal Ehwal Islam yang diketuai oleh Muhammad Hafiz. Dalam sesi ziarah tersebut, mereka membimbing pesakit untuk melaksanakan solat, membaca al-Quran dan doa," katanya.

Tambah beliau, ada sebilangan pesakit berasakan penyakit yang dialami sebagai kafarah dan menyebabkan dia semakin jauh daripada ALLAH SWT. Mereka menganggap tidak boleh beribadah kerana masalah kesihatan.

“Pihak hospital berasa bertanggungjawab untuk mendidik pesakit mengenai konsep ibadah tersebut agar tidak terlepas peluang merebut rahmat ALLAH SWT di sebalik ujian yang diterima,” katanya.

Al-Quran Wakaf untuk Ummah merupakan projek wakaf al-Quran, selain Tabung Gerakan al-Quran yang diuar-uarkan melalui program My #QuranTime di TV AlHijrah, TV9, dan semua platform digital My #Qurantime Official. Program Wakaf al-Quran daripada ummah untuk ummah ini bertujuan mencapai misi mengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah pada 1500H.

Surah Al-Insan yang membawa tema Memanusiakan Ummah menjadi surah pilihan bagi program #QuranHour termasuk World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention tahun ini.