32,736 pelajar duduki SPM di Perak

Rahimah bergambar bersama 171 calon yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Anderson.
Rahimah bergambar bersama 171 calon yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Anderson.
A
A
A

IPOH - Seramai 32,736 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di seluruh Perak menduduki peperiksaan itu bermula Isnin sehingga 15 Mac depan.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan dan Perancangan Pejabat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan negeri, Rahimah Mohamed berkata, daripada jumlah itu sebanyak 31,080 merupakan calon sekolah dan 1,656 lagi calon persendirian.

"Seramai 28,716 calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan, manakala 1,428 calon sekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja dan sekolah perintis tentera.

"Calon sekolah agama negeri seramai 93 orang, calon sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (262) dan calon sekolah menengah agama rakyat seramai 581 orang," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson di sini pada Isnin.

Pelajar SMK Anderson berbaris sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menjawab kertas Bahasa Melayu.
Pelajar SMK Anderson berbaris sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menjawab kertas Bahasa Melayu.

Menurutnya, seramai 108 calon pula dikenal pasti sebagai calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK).

"Peperiksaan ini juga melibatkan tiga calon hospital iaitu dua orang di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Gerik.

"Saya dimaklumkan calon-calon ini terlibat dengan kes denggi, apendiks dan kanser darah. Tiada calon SPM positif Covid-19 atau dikuarantin," katanya.

Rahimah berkata, kesemua calon tersebut menduduki peperiksaan berkenaan di 321 pusat peperiksaan di seluruh negeri dengan dikendalikan petugas peperiksaan seramai 2,726 orang.