31 premis di Kelantan sedia Menu Rahmah

Azman (kiri) melihat Norhazelizan menyediakan Menu Rahmah di Ayang Cafe.
Azman (kiri) melihat Norhazelizan menyediakan Menu Rahmah di Ayang Cafe.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 31 kedai dan kafe di negeri ini menyediakan Menu Rahmah di premis mereka sejak diperkenalkan pada 31 Januari lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, kedai makan dan kafe di daerah Kota Bharu disenaraikan paling banyak menyediakan menu berkenaan iaitu sebanyak 21.

Menurut beliau, daerah lain yang turut disenaraikan ialah masing-masing tiga kedai makan di Pasir Mas dan Tanah Merah, dua di Gua Musang selain masing-masing satu di daerah Tumpat dan Jeli.

"Kita menerima banyak maklum balas daripada peniaga yang mahu mengetahui mengenai konsep Menu Rahmah," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan menu itu di Ayang Cafe pada Ahad.

Beliau memberitahu, pengenalan Menu Rahmah memberi peluang kepada golongan B40 untuk menikmati hidangan dengan harga berpatutan.

Azman ( berdiri) bertanya khabar pelanggan Ayang Cafe mengenai Menu Rahmah pada Ahad.
Azman ( berdiri) bertanya khabar pelanggan Ayang Cafe mengenai Menu Rahmah pada Ahad.

Katanya, melalui pembelian Menu Rahmah, ada golongan yang masih mempunyai lebihan wang untuk keperluan lain.

Selain itu Azman memberitahu, ramai peniaga yang berminat menyertai program itu kerana konsep kasih sayangnya dapat membantu menangani kos sara hidup.

"Bagaimanapun, peniaga perlu tetap menjaga kualiti berikutan senarai menunya juga sama seperti biasa," katanya.

Pada 31 Januari lepas, Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan inisiatif Menu Rahmah dan turut disertai 15,000 premis bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Sementara itu, pemilik Ayang Cafe, Norhazelizan Mamat, 44, memilih untuk menjual Menu Rahmah kerana kafenya sudah lama memperkenalkan harga di bawah RM5.

Katanya, antara menu pilihan pelanggan ialah nasi lemak, nasi tumpang, nasi berlauk dan pelbagai pilihan roti berharga di bawah RM5 sejak cafe itu dibuka lebih lima tahun lalu.

"Langkah kerajaan memperkenalkan harga menu makanan yang murah kepada orang ramai memberi peluang untuk berjimat," katanya.