3,000 tuntutan bertindih punca lewat agihan bantuan banjir

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 3,000 tuntutan bertindih yang dikemukakan mangsa banjir menjadi punca kelewatan agihan bantuan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana banjir di Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, agihan sumbangan yang sepatutnya mula diberikan pada Februari ini terpaksa ditunda pada Mac depan bagi membolehkan proses saringan dilakukan.

"Kerajaan negeri menerima 29,000 permohonan untuk mendapatkan bantuan, namun hasil saringan yang dijalankan hanya 26,000 KIR sahaja layak menerima bantuan tersebut.

"Terdapat suami yang mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) berbeza dengan isteri dan kedua-dua mereka membuat tuntutan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlainan.

"Selain itu, ada juga pemohon yang tidak menjadi mangsa banjir, namun mendakwa turut terjejas menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terpaksa membuat saringan bagi memastikan tiada tuntutan bertindih atau tuntutan palsu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian karnival orang kurang upaya (OKU) peringkat negeri di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, senarai akhir mangsa yang layak menerima bantuan telah dikemas kini dan kini pihaknya hanya menunggu senarai pemohon dari dua daerah sebelum agihan dilakukan.

Bencana banjir di Terengganu pada Disember tahun lalu antara yang terburuk berlaku apabila lebih 41,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kesemua lapan daerah di negeri tersebut.

Situasi itu turut mendapat perhatian kerajaan pusat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan segera banjir sebanyak RM50 bagi Terengganu dan jumlah yang sama turut diagihkan di Kelantan.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap KIR dan RM10,000 diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir yang terkorban akibat bencana tersebut.