[VIDEO] Terengganu sedia jumpa penerbit filem Pulau

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedia bertemu penerbit filem Pulau bagi mendengar rayuan dan hujah yang akan dikemukakan berikutan keputusan pengharaman filem itu dari ditayangkan di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya terbuka dan bersedia untuk bertemu penerbit filem tersebut serta menilai hujah yang akan dikemukakan.

"Dalam sebuah negara dan negeri yang berperaturan, sekiranya dihalang dan dia ingin merayu, kita tak boleh menghalang mereka.

"Kita tunggu bentuk rayuan dan justifikasi yang akan diberikan. Saya percaya kita akan beri ruang untuk menilai hujah-hujah yang akan dikemukakan oleh pihak penerbit," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis perasmian penutup karnival orang kurang upaya (OKU) di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri tetap dengan keputusan (sekatan filem) yang diputuskan kerana keputusan itu dibuat berdasarkan trailer filem itu yang telah ditayangkan sebelum ini.

"Hujah bahawa trailer itu tidak sepenuhnya sebagaimana dalam filem adalah di luar daripada pengetahuan kita. Jika mereka mahu merayu itu adalah hak mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menolak pandangan bahawa Terengganu berada dalam ruangan sempit selepas mengharamkan tayangan filem tersebut.

"Pelbagai pandangan diberikan yang pentingnya kita di Terengganu mahu kekal berada dalam maju, berkat. Berkat ini tidak nampak di atas kertas. Apa yang penting tugas dan tanggungjawab kerajaan untuk menjaga moral rakyat. Di sinilah timbul keberkatan sesebuah kerajaan," ujarnya.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga tidak berhak untuk 'memaksa' mana-mana pengeluar filem mematuhi garis panduan yang ditetapkan, namun mereka perlu peka dengan sensitiviti masyarakat di negara ini.

"Sekiranya mereka ingin hasilkan filem yang mempunyai nilai artistik, produser harus melihat keseluruhan negeri-negeri di Malaysia khususnya berkaitan budaya dan sensitiviti masyarakat.

"Daripada situlah lahirnya sebuah filem yang menepati kehendak di negara ini sekali gus tidak menimbulkan sebarang masalah," katanya.

Penerbit filem, Fred Chong pada Jumaat menyatakan kesediaan untuk bertemu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu ekoran keputusan kerajaan negeri mengharamkan tayangan filem itu.

Menurut Chong, pihaknya bersama wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan ke Terengganu dalam masa terdekat untuk membuat rayuan dan menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri.

Jelasnya, ia bertujuan memberi pencerahan supaya pihak berkenaan membuat penilaian sama ada filem itu mempunyai unsur 'soft porn' atau sebaliknya.