Mercy Malaysia aktifkan pelan kecemasan Turkiye dan Syria

Bandar Kirikhan yang dahulunya cantik dan sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti kini musnah kesan gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.
Bandar Kirikhan yang dahulunya cantik dan sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti kini musnah kesan gempa bumi di Turkiye pada 6 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mercy Malaysia telah mengaktifkan pelan tindak balas kecemasan untuk Turkiye dan Syria bagi memenuhi keperluan tempat perlindungan kecemasan, barangan sara hidup serta sokongan kesihatan kepada mangsa, susulan kejadian gempa bumi di negara berkenaan.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, pelan itu memerlukan pembiayaan sebanyak RM 10 juta untuk Turkiye sahaja manakala penilaian sedang dijalankan untuk menentukan program dan pembiayaan yang diperlukan Syria.

“Mercy Malaysia sedang melakukan pakej sokongan lanjut untuk menangani keperluan kemanusiaan yang mendesak di kedua-dua negara ini.

“Pada 17 Februari lalu, kita mengerahkan 3.8 tan barangan bantuan termasuk ubat-ubatan, silinder oksigen, penumpu oksigen, monitor BP, ventilator bukan invasif, selimut haba dan beg tidur yang bernilai lebih RM 1.5 juta.

“Ia diletakkan dalam tempat perlindungan kontena yang akan dijadikan sebagai tempat tinggal sementara bagi sesetengah komuniti yang dipindahkan dengan kerjasama pasukan Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turki (AFAD),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas beliau, Mercy Malaysia juga telah mengerahkan 4.8 tan barangan bantuan segera seperti set generator, ubat-ubatan, selimut haba, beg tidur dan barangan makanan ke Syria melalui misi khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dijangka berlepas dari Pangkalan Subang pada petang Sabtu.

Konsainan awal menuju ke Syria katanya, bernilai RM200,000.

“Pengerahan bekalan kecemasan kritikal yang dilakukan oleh Mercy Malaysia akan diedarkan oleh kakitangan dan sukarelawan kami serta rakan kongsi tempatan kepada rakyat yang terjejas di selatan Turkiye dan utara Syria,” jelasnya.