Serah wang pinjaman lebih RM32,000 ditipu 'pegawai polis'

Seorang pembantu tadbir kerugian RM34,000 selepas diperdaya Macau Scam. - Gambar hiasan
Seorang pembantu tadbir kerugian RM34,000 selepas diperdaya Macau Scam. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pembantu tadbir di sebuah sekolah membuat pinjaman bank sebanyak RM34,000 selepas diarahkan 'pegawai polis' sebagai proses untuk menyelesaikan kesnya yang didakwa terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.

Wanita berusia 35 tahun akur dengan arahan itu apabila membuat pinjaman seperti diarahkan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa diarahkan memindahkan wang berjumlah RM32,125 daripada pinjaman itu ke akaun bank diberikan suspek.

"Suspek turut mengarahkan mangsa membuat rakaman video aktiviti sehariannya selama tiga hari kononnya bagi tujuan pemantauan.

"Mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai polis di Jerantut selepas menyedari ditipu," katanya.

Ramli berkata, nasib malang menimpa wanita itu berlaku selepas dia menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat kurier pada 19 Januari lalu.

"Mangsa diberitahu ada bungkusan atas namanya yang gagal dihantar kerana mengandungi barang meragukan iaitu tiga kad pengenalan, tiga kad bank dan 30 kad sim.

"Suspek telah menyambungkan panggilan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan hasil semakan mangsa dikatakan terlibat dalam kegiatan jenayah itu," jelasnya.

Beliau berkata, mangsa yang panik dan takut dengan tindakan undang-undang berjaya diperdayakan hingga mengalami kerugian.

"Polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan supaya segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan.

"Sekiranya diminta untuk menyerahkan maklumat perbankan, jangan dedahkan atau serahkan maklumat tersebut," katanya.

Tambah beliau, sekiranya berlaku transaksi keluar masuk wang yang mencurigakan dalam akaun sendiri segera laporkan bagi mengelak akaun tersebut digunakan pihak lain untuk aktiviti penipuan.