Anak lahir di luar negara layak dapat kerakyatan

Azalina dan Saifuddin Nasution
Azalina dan Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Menurut kenyataan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, perkara berkenaan telah diteliti dan dipersetujui oleh mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Jemaah Menteri telah meneliti dan bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan terhadap Bahagian I seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1) (e) dan Bahagian II, Seksyen 1 (b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua.

"Ini bagi memberikan kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara Malaysia.

"Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan mengenai perkara ini adalah untuk menggantikan perkataan 'bapanya' dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan 'sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya'.

"Ia bagi membolehkan ibu warganegara Malaysia mendapat hak seadilnya menurut Perlembagaan Persekutuan. Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2023 seterusnya dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen ini setelah memenuhi kehendak undang-undang," kata kenyataan itu.

Dalam masa sama, kenyataan itu turut memaklumkan, pindaan yang lain berkaitan kewarganegaraan terutamanya Bahagian III akan dikaji dengan lebih terperinci.

Anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan. (Gambar kecil: Azalina dan Saifuddin Nasution)
Anak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan. (Gambar kecil: Azalina dan Saifuddin Nasution)

Tambah kenyataan itu, perkara tersebut akan dikaji oleh jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri setelah cadangan pindaan tersebut dimuktamadkan dengan mengambil kira libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan.

"Ia sejajar dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesamarataan wanita dan lelaki menyingkirkan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia dan mengatasi kelemahan peruntukan kewarganegaraan yang timbul.

"Selain menyelesaikan lambakan kes-kes tertunggak bagi wanita yang terkesan yang memohon kewarganegaraan anak mereka melalui pendaftaran yang mengambil masa terlalu lama dan tidak munasabah dan memberikan tafsiran yang jelas dan mengelakkan tafsiran berbeza dari mahkamah.

"Sehubungan itu, kesan daripada keputusan hari ini (semalam) anak yang lahir di luar negara sebelum atau selepas Hari Malaysia yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapanya adalah warganegara Malaysia berhak mendapat kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang menurut Fasal (1) Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu.

Justeru, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kabinet.

"Ini kerana merealisasikan komitmen negara terhadap kesaksamaan jantina dan memenuhi hak terhadap kanak-kanak," tambah kenyataan itu.