'Dapatkan nasihat pejabat agama sebelum anjur kuda kepang'

Kuda kepang (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Kuda kepang (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

MUAR - Kerajaan Johor dalam peringkat kajian tambahan meneliti dan memperhalusi penganjuran persembahan kuda kepang dalam sesebuah acara atau program keramaian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, tujuannya supaya persembahan kuda kepang berkenaan tidak melibatkan unsur pemujaan yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

"Semakan akhir akan dijalankan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat selaku badan kajian yang dilantik sebelum mendapatkan ulasan daripada Jabatan Mufti, sebagai maklum balas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Johor di Masjid Sultan Ibrahim di sini pada malam Jumaat.

Terdahulu tular beberapa video dalam aplikasi TikTok memaparkan kumpulan individu terlibat persembahan kuda kepang dipercayai di Tangkak dekat sini yang dipercayai mengandungi unsur pemujaan dan kerasukan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyarankan menyarankan mana-mana persatuan kebudayaan khususnya yang beragama Islam mendapatkan pandangan serta nasihat daripada pejabat agama terlebih dahulu berhubung penganjuran persembahan kuda kepang dalam sesebuah acara.

Mohd Fared (tengah) merakam kenangan ketika menghadiri Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Johor, di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, pada Jumaat
Mohd Fared (tengah) merakam kenangan ketika menghadiri Majlis Sambutan Israk Mikraj Peringkat Negeri Johor, di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, pada Jumaat

Jelasnya, rujukan daripada pihak terbabit penting bagi tujuan melindungi akidah umat Islam selain masa sama memartabatkan seni kebudayaan.

“Saya mengesyorkan semua badan-badan kebudayaan untuk menjadikan pejabat kadi di daerah masing-masing sebagai rujukan dalam sesuatu perkara.

“Kalau dikira, bukan hanya badan budaya sahaja, ia termasuklah individu yang mahukan penjelasan, mereka perlulah rujuk pejabat kadi untuk kefahaman," katanya.

Menurutnya, Ini bagi mendapatkan pandangan supaya mereka tidak terlibat pada mana-mana perbuatan atau kelakuan yang boleh menjejaskan pegangan umat Islam.