KSSB anjur Mining Awards 2023

Hargai jasa rakan niaga, pengusaha dan kontraktor perlombongan pasir

A
A
A

Amirudin (dua dari kanan) menyampaikan Special Appreciation Award Completion of HORAS 600 kepada Jared daripada Sg Rambai Trading Sdn Bhd.
Amirudin (dua dari kanan) menyampaikan Special Appreciation Award Completion of HORAS 600 kepada Jared daripada Sg Rambai Trading Sdn Bhd.

PETALING JAYA - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) buat julung kali menganjurkan majlis KSSB Mining Awards 2023 bagi menghargai jasa rakan niaga, pengusaha dan kontraktor perlombongan pasir di seluruh negeri Selangor.

Berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort pada Khamis lalu, acara berprestij itu juga diadakan sempena ulang tahun KSSB yang ke-15.

Sebanyak empat kategori dianugerahkan pada malam itu merangkumi Performance Excellence Award (River Desilting), Top Sales Contributor Award, Performance Excellence Award (Mining) dan Special Appreciation Award Completion of HORAS 600.

Bagi Performance Excellence Award (River Desilting), tiga kontraktor terbaik menerima kategori itu terdiri daripada Bersia Engineering Services (M) Sdn Bhd, Junhern Resources Sdn Bhd dan Aras Metal Sdn Bhd.

Bagi Top Sales Contributor Award, penerima anugerah adalah Hasil Perangsang Holdings Sdn Bhd, manakala Jarom Angkat Sdn Bhd, CST Mining Sdn Bhd dan Mara Majumas Sdn Bhd menerima anugerah bagi kategori Performance Excellence Award (Mining).

Ahmad Fadzli (tengah) menyampaikan Performance Excellence Award (River Desilting) kepada Bersia Engineering Services (M) Sdn Bhd.
Ahmad Fadzli (tengah) menyampaikan Performance Excellence Award (River Desilting) kepada Bersia Engineering Services (M) Sdn Bhd.

Sebuah anugerah khas iaitu Special Appreciation Award Completion of HORAS 600 diberikan kepada Sg Rambai Trading Sdn Bhd bagi menghargai komitmen syarikat menyiapkan kolam takungan dwifungsi yang dikenali sebagai HORAS 600.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Pengerusi KSSB, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Ahmad Fadzli berkata, atas usaha bersama dengan rakan niaga, KSSB telah mengharumkan nama Selangor dan Malaysia apabila berjaya merangkul tempat pertama anugerah kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral yang Mampan (Pengedaran Mineral Bukan Logam) di 2nd ASEAN Mineral Awards (AMA) di Bangkok, Thailand pada 2019.

Menurutnya, sepanjang tempoh 15 tahun, KSSB telah mengeluarkan dan menjual lebih 108 juta tan metrik pasir, bahan batuan dan mineral yang menyumbangkan sebanyak RM677 juta kepada negeri Selangor.

AHMAD FADZLI
AHMAD FADZLI

“Terkini, KSSB telah berkembang sebagai sebuah syarikat konglomerat yang mempunyai sebanyak enam anak syarikat yang terlibat dalam aktiviti perlombongan, perkhidmatan perundingan, inovasi digital, infrastruktur, perdagangan dan pembangunan air mineral,” katanya.

Jelasnya, dalam kepesatan mengembangkan perniagaan KSSB tidak melupakan kelestarian persekitaran dengan menitikberatkan proses perlombongan yang sistematik dan pemantauan kesan alam sekitar perlombongan pasir melalui khidmat perundingan dalaman KSSB Consult.

“KSSB Consult berperanan memastikan operasi perlombongan mematuhi skim perlombongan yang betul, memantau dan menjana laporan mengenai penilaian kesan alam sekitar (EIA), yang diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Selain mempunyai pasukan dalaman yang menyediakan EMR, pasukan itu juga menyediakan pensampelan air kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang memantau semua kolam, sungai dan perlombongan setiap bulan, “ ujarnya.

Sempena menyambut Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Amirudin (tengah) bersama para tetamu menggaul makanan ‘Yee Sang’, sebagai simbolik agar lebih tuah dan makmur sepanjang tahun.
Sempena menyambut Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Amirudin (tengah) bersama para tetamu menggaul makanan ‘Yee Sang’, sebagai simbolik agar lebih tuah dan makmur sepanjang tahun.

KSSB ditubuhkan pada 26 Jun 2008 untuk mengurus segala aktiviti pengeluaran dan penjualan pasir, bahan batuan serta sumber-sumber mineral yang terdapat di Selangor.

Selain itu, KSSB turut melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai, muka sauk, loji rawatan air, kolam takungan banjir dan program tebatan banjir di sekitar Selangor dengan hanya melibatkan peruntukan kos dari kerajaan.

Antara kejayaan KSSB yang menyumbang kepada kerajaan Selangor adalah dengan melaksanakan kerja-kerja pembinaan Kolam Takungan Utama bagi sumber air alternatif (HORAS 600) dan Kolam Takungan Hiliran (ORS).

HORAS tercetus selepas Selangor berdepan cuaca panas luar biasa dan pengurangan kadar hujan ketara pada April 2014.

HORAS 600 dibangunkan di kawasan bekas lombong di Kampung Sungai Darah, Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor dan siap pada 2019.

Ia berfungsi sebagai kolam takungan air mentah ketika musim hujan dan air akan dilepaskan ketika kemarau.

Penuhi keperluan

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri membenarkan sektor kuari dan perlombongan dijalankan di Selangor bagi memenuhi keperluan industri binaan dan perumahan.

AMIRUDIN
AMIRUDIN

Menurutnya, KSSB berperanan mengawal selia aktiviti tersebut bagi menjamin kelestarian industri dan terus berkembang tanpa melanggar peraturan ditetapkan oleh agensi seperti LUAS dan JAS.

“Kemajuan infrastruktur, lebuh raya, landasan kereta api dan lapangan terbang, pembinaan kesemua sektor ini perlu melibatkan bahan pengkuarian termasuk batuan.

“Atas kesedaran ini, kerajaan negeri berpandangan pengurusan dan kestabilan sektor pengkuarian pasir dan batuan di Selangor perlu diberi tumpuan,” katanya.

Beliau berharap kerjasama erat pemain industri diteruskan dan sama-sama membantu kerajaan negeri memastikan sumber negeri diuruskan dengan baik.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Khas Horas 600, Pengarah Urusan Sg Rambai Trading Sdn Bhd, Datuk Jared Tan Soon Seng berkata, anugerah diterima itu satu penghargaan buat syarikatnya yang mengambil masa lima tahun untuk menyiapkan projek HORAS 600.

“Tidak mudah siapkan projek ini apabila telah mengeluarkan 14 juta metrik tan pasir untuk kerja pengorekan kolam takungan.

“Pada masa sama kita perlu menjaga kualiti alam sekitar melalui kawalan debu dan air daripada aktiviti tersebut,” jelasnya.