Dua peniaga gagal batal tulisan jawi di papan tanda premis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua peniaga di Kuantan, Pahang gagal membatalkan keputusan kerajaan negeri itu di Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis yang mengarahkan tulisan jawi dipaparkan pada papan tanda premis perniagaannya.

Ia selepas panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Yaacob Md Sam sebulat suara menolak rayuan peniaga-peniaga itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan yang tidak membenarkan permohonan semakan kehakiman peniaga, Jehan Abdullah dan A Dana Palan.

Sebelum ini, permohonan semakan kehakiman itu difailkan oleh tiga peniaga, namun rayuan hanya diteruskan membabitkan dua perayu kerana pemohon kedua, Phang Long Yen telah meninggal dunia.

Ketika membaca keputusan penghakiman berkenaan, Yaacob berkata, panel hakim berpuas hati bahawa arahan Majlis Mesyuarat Exco negeri menguatkuasakan tulisan jawi jenis Al-Taibah pada papan tanda premis perniagaan adalah munasabah dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika menolak permohonan semakan kehakiman ketiga-tiga pemohon itu.

“Panel ini berpendapat bahawa tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya yang turut berpendapat permohonan semakan kehakiman merupakan mod tindakan undang-undang yang betul.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk P Ravinthran dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam prosiding ini, perayu-perayu diwakili oleh peguam, T Gunaseelan sementara pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) oleh Ong Siew Wan.

Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Saiful Edris Zainuddin pula bagi pihak kerajaan negeri Pahang.

Pada 5 Ogos 2021, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz berkata, mahkamah berpuas hati, polisi yang diputuskan oleh kerajaan negeri melalui Mesyuarat Exco tidak boleh diganggu.

Ini kerana katanya, mahkamah hanya berperanan untuk mentafsir undang-undang yang digubal oleh Parlimen.

Bermula 1 Januari 2020 lalu, kerajaan negeri itu menguatkuasakan pelaksanaan papan tanda tulisan jawi bagi premis-premis perniagaan.

Peruntukan itu menyebut bahawa semua lesen atau permit yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada syarat dan larangan yang difikirkan sesuai oleh pihak berkuasa tempatan.

Lesen juga boleh ditarik balik pada bila-bila masa tanpa memberikan apa-apa alasan, manakala mereka yang ingkar arahan itu boleh didenda sehingga RM250.

Pelaksanaan untuk memaparkan tulisan jawi merupakan tindakan bagi menyahut titah Yang di-Pertuan Agong pada 13 November 2018 agar tulisan warisan itu dipaparkan di setiap premis di negeri tersebut untuk dimartabatkan semula.

Peniaga-peniaga ini kemudiannya mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Exco Negeri pada 1 Mac 2018 yang menguatkuasakan penggunaan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan di bandar Kuantan.

Mereka juga mahu menarik balik perintah MPK bertarikh 3 April 2019 yang menghendaki semua premis perniagaan di bawah bidang kuasanya menggunakan tulisan itu pada papan tanda mereka.

Mereka juga memohon perisytiharan bahawa Seksyen 107 (2) bertentangan dengan klausa kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!