Libatkan NGO dalam jawatankuasa khas sindiket tipu kerja

Laporan Sinar Harian mengenai sindiket penipuan kerja beberapa hari lalu. Gambar kecil: Musa, Hishamuddin
Laporan Sinar Harian mengenai sindiket penipuan kerja beberapa hari lalu. Gambar kecil: Musa, Hishamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perlu dilibatkan dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan bagi memerangi sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini kerana NGO merupakan antara individu terawal mendapat maklumat daripada waris mahupun mangsa berkenaan sindiket tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan peranan yang dimainkan pihak berkuasa dilakukan dengan efektif.

“Di lapangan, ada NGO yang bersama dengan keluarga mangsa. Mereka sentiasa mendapat input awal berbanding pihak berkuasa. Kita tidak mahu menafikan mana-mana peranan, kita perlu bekerjasama.

“Wujudkan koordinasi kerjasama. Masalah ini adalah kritikal, kita perlu bekerjasama kerana rakyat masih berada di sana. Sudah masanya kita mencari satu jalan bersama untuk menyelamatkan rakyat yang terperangkap di sana,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memerangi sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan rakyat Malaysia di luar negara termasuk Myanmar susulan laporan eksklusif Sinar Harian minggu lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, jawatankuasa khas itu diketuai beliau sendiri dan Wisma Putra, serta disokong pelbagai agensi kerajaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Peguam Negara.

Berkenaan mewujudkan jawatankuasa khas itu, Hishamuddin menyambut baik penubuhan tersebut dan berharap ia dapat dilaksanakan sebaiknya bagi membendung sindiket daripada terus berleluasa.

Selain itu, tambahnya, bagi memastikan penubuhan tersebut benar-benar berkesan, kempen kesedaran secara berterusan di dalam media sosial, media perdana perlu diperluas supaya diketahui ramai pihak.

Menurutnya, meskipun perkara tersebut dilihat remeh, namun ia perlu dilakukan supaya tiada mangsa baharu yang tertipu terhadap sindiket itu.

Tambah beliau, selain menimbulkan kesedaran, tindakan perlu disusuli dengan mengetatkan penguatkuasaan terutama di lapangan terbang.

“Ini supaya sekiranya ada individu yang dilihat berisiko contohnya remaja yang tidak mempunyai sejarah perjalanan sebelum ini tiba-tiba buat pasport dan nak pergi ke negara yang boleh dikatakan berisiko. Duit poket hanya ada RM150, pergi berseorangan.

“Ini antara isyarat yang saya nampak kita perlu ada kawalan supaya remaja yang berisiko atau berpotensi jadi mangsa tidak dilepaskan, dibenarkan keluar kerana kalau dah keluar, nak balik semula susah,” jelasnya.

Perkara tersebut turut disokong oleh Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Menurut beliau, usaha lain yang boleh dilakukan kerajaan adalah meminda semula Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 agar usaha PDRM dalam mengekang kegiatan jenayah komersial boleh dilakukan dengan lebih berkesan.

“Sekarang, pihak polis tidak boleh nak ambil tindakan. Kalau ada (POCA), sikit-sikit kita boleh siasat dan ambil tindakan kepada mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, dengan kewujudan jawatankuasa khas banteras sindiket penipuan pekerjaan, ia akan lebih memudahkan untuk membantu mangsa-mangsa keluar dari tempat tersebut.