Berundur jika tidak mampu jaga amanah, kata Abu Bakar

Abu Bakar ketika merasmikan pelancaran Briged Aman Malaysia di Intekma Resort & Convention Centre hari ini.
Abu Bakar ketika merasmikan pelancaran Briged Aman Malaysia di Intekma Resort & Convention Centre hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin yang diamanahkan untuk menjaga rakyat harus berundur sekiranya tidak mampu melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, tanggungjawab tersebut harus diserahkan kepada mereka yang lebih berkemampuan untuk melaksanakannya.

“Ingat bila jadi pemimpin tidak kira di mana-mana peringkat pun, kita hendaklah pandang ke bawah dan kembali membantu rakyat apabila diperlukan. Ini kerana jawatan (politik) hari ini adalah kemenangan daripada sokongan rakyat.

“Jika tidak mampu berbudi kepada rakyat, kenanglah budi mereka yang memilih kita pada pada pilihan raya lalu," katanya.

Tambah Abu Bakar, tegurannya itu bukanlah untuk merendah-rendah atau mengkritik sesiapa tetapi ianya dibuat secara umum agar semua pihak tidak tergelincir daripada matlamat untuk membantu rakyat.

"Sebagaimana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berusaha keras memulihkan negara dan membantu rakyat meskipun pada usia lanjut ketika ini.

"Bukan sahaja pimpinan kerajaan, bahkan semua NGO juga perlu membantu kerajaan dan tidak membiarkan Tun Mahathir bersendiri. Janganlah kita ada kepentingan peribadi, melakukan penyelewengan termasuklah sikap hasad dengki sehingga berlakunya perpecahan sehingga merosakkan organisasi," ujarnya.

Tambahnya lagi, pengalaman 22 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri termasuk kali kedua memegang jawatan yang sama perlu dijadikan panduan bagi merencanakan masa depan Malaysia yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merasmikan Pelancaran Pertubuhan Sukarelawan dan Kebajikan Sosial Briged Aman Malaysia (Briged Aman Malaysia) di Intekma Resort & Convention Centre, hari ini.

Abu Bakar juga dilantik sebagai penaung Briged Aman Malaysia berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan platform membantu kebajikan rakyat menerusi penglibatan sukarelawan di kalangan masyarakat.

Malah, mana-mana pihak termasuk pihak swasta dan korporat yang ingin menyumbang aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di bawah NGO berkenaan rakyat boleh menghubungi Pengerusi Briged Aman Malaysia, Azhari Yusof di talian 0192277395.