Bapa berhenti kerja urus anak sakit buah pinggang kronik

Nurul Ain mengelap Muhammad Aqil Sudais yang memerlukan perhatian sepanjang masa sambil diperhatikan oleh Muhammad Jefri (kanan) dan Chenta Nur Sumayyah (dua kanan).
Nurul Ain mengelap Muhammad Aqil Sudais yang memerlukan perhatian sepanjang masa sambil diperhatikan oleh Muhammad Jefri (kanan) dan Chenta Nur Sumayyah (dua kanan).
A
A
A

AYER HITAM - Seorang bapa terpaksa berhenti kerja kerana perlu memberikan tumpuan kepada anak bongsunya yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik selepas dilahirkan tiga tahun lalu.

Muhamad Jefri Marzuki, 33, yang bekerja selama tujuh tahun di sebuah pasar raya di Alor Setar perlu membuat keputusan itu kerana sering mengambil cuti untuk membawa Muhammad Aqil Sudais ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, anaknya itu juga memerlukan jagaan rapi sepanjang masa selain perlu bergantung pada alat pernafasan kerana sering sawan termasuk mengalami komplikasi lain.

"Semasa di tempat kerja, saya selalu fikirkan Muhammad Aqil Sudais kerana bimbang sebab tidak ada siapa yang boleh bawa kereta untuk ke hospital jika terjadi apa-apa kepadanya.

"Akhirnya saya terpaksa buat keputusan berhenti kerja kerana perlu urusnya yang memerlukan perhatian sepanjang masa kerana kerap diserang sawan sejak akhir-akhir ini," katanya semasa ditemui di Kampung Pida 8 Tandop, dekat sini.

Terdahulu, Muhammad Aqil Sudais menerima kunjungan Persatuan Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang menyampaikan bantuan tunai dan keperluan dapur pada Rabu.

Muhamad Jefri berkata, kos rawatan anaknya juga tinggi kerana perlu berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) setiap bulan untuk berjumpa doktor pakar.

Zuraini (kiri) mewakili CSM hadir menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Aqil Sudais di Kampung Pida 8, Tandop, Ayer Hitam pada Rabu.
Zuraini (kiri) mewakili CSM hadir menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Aqil Sudais di Kampung Pida 8, Tandop, Ayer Hitam pada Rabu.

Menurutnya, keinginan diri sendiri perlu diletakkan di tepi dahulu dan fokus utama kini adalah keluarga terutamanya Muhammad Aqil Sudais.

"Anak saya ini telah tiga kali menjalani pembedahan. Sekarang bergantung kepada susu khas dengan kos RM1,000 sebulan. Kos ini tidak termasuk lagi lampin pakai buang dan tiub makan," ujarnya yang kini bekerja kampung dan memperoleh pendapatan sekitar RM300 sebulan.

Nurul Ain Jawahir Md Isa, 29, ibu kepada Muhammad Aqil Sudais pula berkata, bekalan elektrik di rumah mereka pernah dipotong kerana tidak mampu untuk membayar tunggakan.

Katanya, penggunaan bekalan elektrik tinggi disebabkan oleh Muhammad Aqil Sudais kerap bergantung kepada alat pernafasan setiap masa.

"Malam-malam dia susah tidur malam dan saya perlu sentiasa tengok dia kerana bimbang terjadi sawan. Bila sawan perlu juga ada orang lain untuk bantu. Waktu Muhammad Aqil Sudais tidur siang dan kakaknya, Chenta Nur Sumayyah pergi sekolah barulah saya curi-curi tidur.

"Saya nak sangat tengok dia sihat macam kanak-kanak lain. Saya fikir duit yang saya ada ini disimpan bagi kegunaan dia apabila perlu pergi ke hospital," jelas Nurul Ain.

Sementara itu, Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, keadaan Muhammad Aqil Sudais yang mengalami pelbagai komplikasi kesihatan termasuk buah pinggang kronik menarik perhatian badan bukan kerajaan itu.

"Mereka kita bantu kebetulan sebelum ini bil elektrik tertunggak jadi kena potong jadi CSM telah membantu melunaskan bil tertunggak kerana adik Muhammad Aqil memerlukan elektrik sebab dia kena pakai mesin oksigen. Kami harap ada lagi pihak tampil membantu meringankan beban selepas bapanya terpaksa berhenti kerja," kata beliau.

Bagi mereka yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke Akaun CIMB (7070481567) atau menghubungi Nurul Ain Jawahir Md Isa di nombor 017-5918441.