Persiapan Back To School dan Aidilfitri

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A

MAC tahun ini agak istimewa kerana ada dua ‘acara besar’ menunggu iaitu sesi baharu persekolahan dan umat Islam akan menyambut Ramadan.

Jika ikut kalendar Hijrah, 1 Ramadan akan jatuh pada 23 Mac ini. Nampak gayanya persiapan Back To School buat ibu bapa kali ini berganda kerana pada masa sama turut memikirkan perbelanjaan kelengkapan baju raya.

Memang ‘pokai’ ibu bapa kalau tidak merancang awal. Keadaan itu membuatkan penulis turut sama termenung kerana masih ada kalangan ibu bapa belum melunaskan yuran sekolah tertentu, sekalipun sesi persekolahan 2022/2023 sudah di penghujung.

Terdetik di hati, barangkali keluarga murid berkenaan benar-benar tidak mampu menjelaskan yuran sekali bayar itu, sekali gus mencetuskan empati penulis terhadap mereka.

Sedar setiap orang mempunyai cara berbeza menguruskan keluarga, ada kalangan rakan penulis berpendapat sebaiknya masyarakat berpegang kepada pepatah ‘mengukur baju di badan sendiri’.

Tahun 2023 kita dijangka berdepan pelbagai dugaan seperti diperkatakan sebelum ini. Kelembapan ekonomi, inflasi dan cuaca yang tidak menentu.

Justeru, ada kelompok M40 menggesa kerajaan agar turut prihatin nasib kumpulan berkenaan yang semakin ramai hidup umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Jika sebelum ini, kumpulan B40 sudah banyak terima bantuan, jadi sudah tiba masanya tumpuan turut diberikan kepada golongan M40, misalnya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) untuk murid tanpa had gaji yang diterima baru-baru sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, terpulang kepada sesebuah keluarga dalam menentukan keutamaan antara sesi persekolahan dan hari raya.

Memahami Aidilfitri adalah perayaan penting bagi umat Islam, beliau berharap ibu bapa tidak begitu boros dan bersikap ‘biar papa asal bergaya’.

Sebaiknya kata beliau, ibu bapa boleh memanfaatkan tawaran diskaun untuk mengurangkan perbelanjaan dan menukar gaya hidup dengan memilih barangan lebih murah tetapi tetap berkualiti.

Sesi persekolahan dan hari raya sama penting, sekali gus meletakkan penulis yang juga ibu kepada tiga anak dalam dilema.

Namun, hal-hal berkaitan buku dan yuran sekolah menjadi keutamaan. Selepas itu barulah digunakan untuk beli persiapan persekolahan.

Dalam keadaan ekonomi sekarang, penulis ambil pendekatan pakai selagi muat. Kasut selagi tidak ketat dan haus, pakailah selagi boleh.

Penulis juga bersyukur kerana mempunyai ketua keluarga yang begitu teliti dalam membuat ‘belanjawan keluarga’ apabila awal-awal lagi sudah memperuntukkan kos buat anak-anak.

Daripada sekecil-kecil bajet hinggalah paling besar sudah siap disenaraikan, bimbang jika ada belanja ‘defisit’. Kena rancang untuk perbelanjaan yang berhemah.

Mana-mana barangan yang tidak penting atau bukan keperluan, lupakan sahaja.

Terfikir juga alangkah baiknya jika kerajaan turut memperkenalkan kelengkapan sekolah ‘harga Rahmah’ bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Bukan apa, urut dada jugalah tengok harganya sekarang, bukan ‘kaleng-kaleng’.

Penulis puji ada kedai yang menjual kelengkapan sekolah berlumba-lumba menawarkan diskaun kepada pelanggan.

Walaupun hanya lima peratus, sekurang-kurangnya dapat membantu poket pelanggan.

Persiapan raya kali ini juga pasti agak mencabar kerana harga biskut raya difahamkan meningkat berganda. Bahan mentah seperti telur, tepung dan sebagainya, serba-serbi mahal.

Jangan terkejut kalau harga sebekas tart nenas atau almond London naik sehingga RM45.

Bolehlah kita berkira-kira untuk menguli sendiri biskut raya selepas solat tarawih nanti.

Apa pun, bagi penulis, yang penting dalam keseronokan kita berbelanja dan bersiap untuk sesi pembukaan sekolah serta persiapan hari raya, jangan dilupakan tabung kecemasan di kemudian hari.

Seeloknya, duit gaji yang kita dapat itu simpanlah sedikit untuk tabung kecemasan, bukannya dihabiskan kesemuanya.

* Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian