Dua beradik terlepas tali gantung kerana edar dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua adik beradik terlepas daripada hukuman gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan sabitan salah terhadap pertuduhan mengedar 986.10 gram dadah jenis kanabis, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Lim Chong Fong sebulat suara memutuskan rayuan oleh S Rubanraaj, 27, dan S Nagaraja, 35, mempunyai merit.

Dalam penghakiman, Hanipah, berkata Mahkamah Tinggi bertanggungjawab untuk mempertimbangkan semua bukti di hadapannya tetapi dalam kes ini, hakim gagal mematuhi Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah kerana tidak menimbangkan kes pembelaan yang menjurus kepada salah laku keadilan.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah bukti secara menyeluruh yang dikemukakan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat.

Pada 27 Februari, 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhakan hukuman mati terhadap adik beradik berkenaan, yang bekerja sebagai penarik kereta, selepas didapati bersalah mengedar dadah di kawasan parkir Apartmen Prima Bayu, Jalan Batu Unjur, Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor, pada jam 10 malam, 26 April, 2018.

Peguam perayu, Afifuddin Ahmad Hafifi berkata bahawa penilaian penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi terhadap bukti-bukti adalah tidak mencukupi berkenaan laporan polis dan akuan bersumpah oleh saksi pembelaan.

Katanya, hakim terkhilaf apabila mengatakan pembelaan anak guamnya hanya semata-mata penafian kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abdul Harim pula hujah bahawa kedua-dua lelaki tersebut mempunyai niat bersama untuk melakukan jenayah itu dan hakim Mahkamah Tinggi telah menilai bukti tersebut.

Beliau berkata, walaupun hakim Mahkamah Tinggi tidak merujuk kepada laporan polis tetapi ia tidak menjejaskan kes pendakwaan. - Bernama