Guan Eng mohon nota keterangan kes Gnanaraja di Shah Alam

Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu bagi prosiding pendengaran permohonan untuk memperoleh laporan forensik perbualan WhatsApp membabitkan dua ahli perniagaan.
Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu bagi prosiding pendengaran permohonan untuk memperoleh laporan forensik perbualan WhatsApp membabitkan dua ahli perniagaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, supaya diberi masa yang lebih panjang bagi mendapatkan nota keterangan kes ahli perniagaan, G Gnanaraja di Mahkamah Shah Alam, Selangor.

Peguam, Gobind Singh Deo berkata demikian ketika prosiding pendengaran permohonan Ahli Parlimen Bagan itu untuk memperoleh laporan forensik perbualan WhatsApp membabitkan Gnanaraja dan Pengarah Syarikat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Berbekalkan nota tersebut, beliau berkata, ia akan menyokong permohonan anak guamnya, untuk mendapatkan laporan berhubung pemberian 'Coklat RM2 juta'.

Menurutnya, wang itu seterusnya menjadi asas dalam pertuduhan terhadap Gnanaraja dalam kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam malah subjek yang sama bagi pertuduhan kes Guan Eng.

“Maklumat ini sangat penting kerana ia merujuk kepada bayaran yang didakwa dibuat untuk anak guam saya,” katanya ketika prosiding pendengaran permohonan pembelaan untuk mendapatkan laporan forensik dan perbualan WhatsApp di hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagaimanapun, Gobind berkata, sekiranya rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes Gnanaraja di Shah Alam, cek sama telah diserahkan kepada pihak ketiga dan bukan kepada Guan Eng.

Beliau berkata, dokumen tersebut sangat diperlukan kerana pada pendirian pembelaan, saksi-saksi dalam kes ini tidak bercakap benar, malah kebenarannya hanya akan putuskan kemudian.

“Kami dimaklumkan bahawa Mahkamah Shah Alam akan memberikan nota keterangan dalam tempoh dua minggu, maka saya mohon kes ini ditangguh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan penangguhan tersebut.

Azura kemudiannya menetapkan prosiding pendengaran, bersambung 1 Mac depan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.