'Datuk' direman tipu penyata bank untuk tender RM7.97 juta

Kedua-dua suspek tiba di Bangunan Mahkamah Sesyen dan Majistret Sivil Georgtown kira-kira jam 10.24 pagi Rabu.
Kedua-dua suspek tiba di Bangunan Mahkamah Sesyen dan Majistret Sivil Georgtown kira-kira jam 10.24 pagi Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang pemilik syarikat berpangkat Datuk dan pengurus sebuah syarikat direman tiga hari bermula Rabu untuk membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan tender bernilai RM7.97 juta.

Kedua-dua suspek adalah daripada syarikat pembersihan yang berbeza.

Suspek yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tiba di Bangunan Mahkamah Sesyen dan Majistret Sivil di sini kira-kira jam 10.24 pagi untuk mendapatkan perintah tersebut.

Perintah tahanan reman terhadap kedua-duanya dikeluarkan Majistret Mahkamah Sivil, Hadi Hakimi Harun selepas Pegawai Penyiasat SPRM, Afiqa Liayana Rozman membuat permohonan reman tersebut.

Suspek pertama berusia 64 tahun dan suspek kedua berusia 74 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat palsu.

Mereka didakwa berbuat demikian bagi mendapatkan kerja-kerja Tender Perkhidmatan Pembersihan Am Jalan bagi Zon Bertam, Seberang Perai Utara bagi tempoh lima tahun dengan jumlah keseluruhan RM7.97 juta daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurut sumber, kedua-dua suspek berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang pada petang Selasa ketika hadir memberi keterangan.

Kedua-dua suspek diwakili barisan peguam daripada Athimulan & Co dan ditahan reman di lokap SPRM Pulau Pinang.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.