Perluas elaun kepada pelajar latihan industri sektor swasta

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa melaksanakan penetapan pembayaran elaun kepada pelajar latihan industri bagi sektor swasta sebagai mengiktiraf tenaga kerja pelajar yang mencari pengalaman dan peluang pekerjaan.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan sejak 2019 lagi dan perlu diberi perhatian serius.

Menurutnya, tanpa pembayaran kepada pelajar yang mahu menjalani latihan industri, ia akan membantutkan peluang pelajar berkenaan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik disebabkan kesukaran untuk menampung kos kehidupan sepanjang mendapatkan pengalaman kerja ketika latihan industri.

"Apabila masuk 2023, penting untuk kerajaan hantar mesej jelas bahawa pelajar latihan industri bukan kuli untuk dikerjakan pagi dan malam, kadang kala sehingga ke hujung minggu tapi tidak terima satu sen pun bayaran.

"Kita tak cakap soal RM900 yang kerajaan tetapkan, kadang kala ada yang tidak dibayar langsung. Realitinya, latihan industri ini adalah pengalaman yang akan diguna pakai oleh pelajar untuk dapat pekerjaan yang lebih baik.

"Tanpa peluang latihan industri, peluang akan terbantut. Ini bukan perkara kecil, kalau kita tidak membenarkan latihan industri berbayar maksudnya, anak-anak yang datang daripada keluarga miskin yang tak dapat akses latihan industri kerana tak ada pembayaran langsung," katanya pada sidang media di Parlimen pada Rabu.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, buat masa ini kerajaan hanya menggalakkan pihak swasta melaksanakan bayaran elaun kepada pelajar latihan industri kerana mengambil kira masih banyak syarikat yang dalam fasa pemulihan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau sedia membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat kabinet untuk perhatian Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi bagaimana kaedah memperluaskan penetapan bayaran kepada pelajar latihan industri.

"Jika tak wajibkan pembayaran, kemungkinan besar agensi akan beri peluang kepada semua untuk berlatih tetapi oleh kerana ada polisi (pembayaran) dan mereka tak mampu, jadi mereka akan kurangkan pembayaran pelajar.

"Saya risau kalau kita perluaskan dalam sektor swasta sekarang dalam keadaan pemulihan pandemik, ramai yang tidak mendapat peluang menjalani sektor industri," katanya.

Kerajaan ketika ini menetapkan pembayaran sebanyak RM900 kepada pelajar latihan industri di sektor kerajaan.