Tambah lorong laluan Yong Peng-Skudai

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KELANCARAN perjalanan antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada masa kini acap kali diganggu dengan kesesakan trafik terutama di laluan Yong Peng-Skudai di Johor.

Akibat pertambahan kenderaan, kesesakan yang berlaku di kawasan lebuh raya empat lorong (dua hala) itu dilaporkan berlaku sudah tidak mengira waktu.

Keadaan itu bertambah teruk ketika musim perayaan terutama Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan yang menyebabkan kesesakan teruk berlaku.

Laluan Lebuhraya Utara-Selatan antara Melaka dan Seremban kini enam lorong, manakala laluan antara Seremban dan Kuala Lumpur telah dinaik taraf kepada lapan lorong, namun laluan antara Melaka dan Johor masih kekal empat lorong.

Empat lorong tersebut tidak mencukupi untuk menampung jumlah kenderaan yang banyak pada satu masa, sekali gus mengakibatkan berlakunya kesesakan di lebuh raya itu.

Laluan Lebuhraya Utara-Selatan Yong Peng-Skudai sepanjang kira- kira 70 kilometer melalui Ayer Hitam, Simpang Renggam, Machap, Sedenak, Senai itu merupakan jalan utama untuk ke Johor Bahru yang merupakan pusat pembangunan negeri serta pintu masuk utama untuk ke Singapura.

Sebenarnya cadangan menambah lorong di Lebuhraya Utara Selatan laluan Yong Peng-Skudai sudah kerap kali dibangkitkan termasuk menjadi antara manifesto dua kali pilihan raya sebelum ini.

Malah kerajaan negeri Johor juga cukup serius dalam perkara ini apabila dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan itu dinaik taraf.

Sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Disember lalu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh membangkitkan keperluan naik taraf laluan tersebut.

Jelasnya, sewaktu pembentangan Belanjawan 2023 Oktober lalu, peruntukan yang diumumkan hanya membabitkan pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan kawasan Senai Utara-Pandan sahaja.

Mohamad Fazli, memaklumkan bagi jangka masa panjang pula, kerajaan negeri melihat penambahan lorong membabitkan Yong Peng-Skudai perlu dilaksanakan.

Malah kertas kerja cadangan awal kerajaan Johor sudah disampaikan kepada kerajaan Persekutuan bagi pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan membabitkan laluan Yong Peng-Senai untuk fasa pertama, laluan Senai-Skudai (fasa kedua) dan Yong Peng-Ayer Keroh (fasa tiga).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi seterusnya memaklumkan terdapat 11 projek utama yang disenaraikan dalam permohonan Bajet 2023 demi demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini termasuk projek penambahan kepada enam lorong bagi laluan Yong Peng-Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan Belanjawan 2023 yang lebih besar dengan memberi keutamaan kepada permohonan kerajaan negeri sekali gus tidak mengurangkan peruntukan untuk negeri.

Isu dibangkitkan kerajaan negeri berhubung penambahan lorong lebuh raya laluan Yong Peng-Skudai, menerima reaksi positif daripada Kementerian Kewangan.

Satu sesi pertemuan bersama pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dilakukan pada minggu lalu bagi membincangkan isu penambahan lorong laluan lebuh raya membabitkan negeri Johor.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan perbincangan awal itu akan memberi pemberat kepada cadangan tersebut yang menjadi hasrat warga Johor sejak sekian lama.

Selain mendapatkan maklum balas, perbincangan bersama PLUS itu turut melihat bagaimana kaedah bagi penambahan lorong lebuh raya dilaksanakan.

Pada pembukaan sidang DUN Johor, pada Jun tahun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan Persekutuan supaya segera menunaikan janji untuk menaik taraf Lebuhraya Utara- Selatan di negeri ini kepada enam lorong.

Justeru, harapan disandarkan kepada Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi penambahan lorong lebuh raya ini.

Penambahan lorong Lebuhraya Utara-Selatan membabitkan laluan Yong Peng-Skudai merupakan harapan besar rakyat Johor yang tidak sanggup lagi berdepan dengan masalah kesesakan di lebuh raya.

*Nor Azura Md Amin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Johor