Gangster Thailand tak akan bertindak semberono

Erwan
Erwan
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan gangster atau kongsi gelap di Thailand bukan jenis bertindak sembarangan untuk menembak mati orang luar kerana mereka mempunyai 'undang-undang kumpulan' yang perlu dipatuhi.

Ahli Majlis Eksekutif, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir berkata, arahan membunuh dan menembak mati akan hanya dilakukan sekiranya pelaku melakukan kesalahan besar atau penipuan wang dalam jumlah yang sangat banyak.

Beliau yang juga Penasihat Kebajikan Keluarga Bekas Polis dan Tentera (Poltera) berkata, setelah mendapati suspek bertindak luar batasan sama ada menipu atau cuba merampas kawasan perniagaan kongsi gelap di negara jiran itu, maka kumpulan gangster akan mengeluarkan arahan bunuh.

Berdasarkan pengalaman, beliau berkata, pihak gangster Thailand tidak akan mengganggu mana-mana warga asing termasuk pelancong dari Malaysia yang berada di negara itu kerana perbuatan tersebut memberi implikasi buruk kepada mereka sendiri dan ekonomi setempat.

"Kumpulan gangsters di Thailand tidak akan 'simply' bertindak mengganggu orang ramai termasuk pelancong yang berada di negara itu, melainkan individu tersebut mempunyai masalah yang sangat besar dengan pihak kongsi gelap itu.

"Tidak adil untuk menyatakan kumpulan gangster atau rakyat di Thailand akan mengacau atau bertindak melampaui batas termasuk menembak orang luar kerana mereka juga mempunyai undang-undang kumpulan yang perlu dipatuhi.

"Mereka (kumpulan gangster) sebenarnya lebih suka memberi tumpuan terhadap perniagaan yang diuruskan dan tidak mahu mempunyai apa-apa masalah dengan orang awam terutama rakyat Malaysia yang berkunjung ke sana," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tembak seorang rakyat Malaysia di Bandar Betong, Wilayah Yala, selatan Thailand pada Sabtu.

Dalam kejadian yang berlaku di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Chantharothai, mangsa berusia 55 tahun dari Kampung Padang Tamat, Pengkalan Hulu, Perak dipercayai ditembak suspek tidak dikenali.

Ekoran serangan itu, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian perut dan paha mendapat rawatan di Hospital Betong.

Erwan bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang ulasan berhubung kejadian tembak tersebut kerana tidak mahu mengganggu sebarang siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand dan Malaysia.

Malah beliau juga tidak mahu mengaitkan kes tembak rakyat Malaysia yang berlaku di selatan negara itu disebabkan oleh kumpulan gangster.

Erwan bagaimanapun berkata, kebanyakan kejadian kes tembak di Thailand adalah disebabkan pertelingkahan, pergaduhan, penipuan atau masalah hutang besar yang tidak dilunaskan.

Ekoran perbalahan besar katanya, ada pihak kumpulan gangster yang akan mengupah pembunuh upahan atau 'hit man' bagi menamatkan nyawa individu disasarkan, sekali gus tidak mengaitkan mereka dengan mana-mana pertuduhan.

Oleh sebab itu katanya, kebanyakan kes atau kejadian tembak di Thailand adalah berpunca daripada kumpulan kongsi gelap.

"Sekiranya ada kes tembak, mesti ia disebabkan kesalahan besar yang telah dilakukan oleh individu-individu tertentu atau pertelingkahan melibatkan kumpulan gangster.

"Malah kejadian menangkap atau menculik juga tidak sewenangnya dilakukan oleh kumpulan gangsters kerana mereka tidak mahu merosakkan perniagaan yang diusahakan dan ekonomi serta sektor pelancongan di Thailand," katanya.