Buruh tidak serik, ditahan semula kerana dadah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang buruh yang tidak serik dipenjara dan sebat sebelum ini, sekali lagi dijatuhi hukuman sama atas kesalahan dadah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Tertuduh Muhammad Syafiq Haziq Masiran, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis morfin.

Tertuduh didapati positif mengambil dadah itu selepas ujian saringan awal air kencing yang dijalankan di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada 12 Oktober tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh yang sebelum itu mempunyai satu sabitan lampau kesalahan mengikut Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, tertuduh berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 39C(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(2) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan dia hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang tujuh tahun tetapi tidak melebihi 13 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak kurang dari tiga sebatan tetapi tidak lebih daripada enam sebatan.

Norma kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Oktober tahun lalu dan tiga sebatan.

Tertuduh pada 2019 di mahkamah sama pernah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan.

Berdasarkan fakta kes, botol berisi air sampel air kencing dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Tuanku Ampuan Najihah ( HTAN ) Kuala Pilah bagi tujuan analisis dan hasil ujian mengesahkan air kencing tertuduh mengandungi dadah jenis morfin.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.