Kanak-kanak mangsa lemas kedua ditemukan

Mangsa kedua, Muhammad Rizqullah ditemukan pada petang Isnin.
Mangsa kedua, Muhammad Rizqullah ditemukan pada petang Isnin.
A
A
A

AMPANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas di bawah timbunan sampah pada Isnin, selepas dipercayai terjatuh dalam longkang dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Jalan Ukay Perdana, di sini, sejak Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Rizqullah Mohd Shafie itu ditemukan dalam jarak kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

"Mangsa telah dijumpai pada jam 5.10 petang, kita sedang dalam proses bawa mangsa keluar dari lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.

Mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar berusia lapan tahun ditemui pada jam 6.30 petang pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dilaporkan berkata, ibu bapa kepada kedua-dua mangsa akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika dua kanak-kanak itu sedang bermain air di kawasan longkang terbabit sebelum tergelincir dan dihanyutkan arus.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan polis menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memerhatikan anak-anak dengan tidak membiarkan mereka bermain tanpa pengawasan.