'Tak sangka berubah jadi pendiam petanda Ammar tinggalkan kami'

Noraliza menunjukkan gambar anak sulungnya yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, Ampang pada Sabtu.
Noraliza menunjukkan gambar anak sulungnya yang ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, Ampang pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - "Sejak beberapa hari lalu, Ammar berubah menjadi pendiam berbanding sebelum ini, dia seorang yang ceria dan banyak bercakap. Saya tidak menyangka itu petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya."

Demikian kata Noraliza Yusoff, 34, ibu kepada Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan berusia lapan tahun yang ditemui lemas selepas terjatuh di dalam longkang di Ukay Perdana, di sini, pada Sabtu.

Noraliza berkata, antara perubahan lain ialah anak sulung daripada lima beradik tersebut turut meminta suri rumah itu memandikannya bersama adik-beradiknya yang lain.

"Kebiasaannya Ammar akan mandi bersendirian," katanya ketika ditemui di Hospital Ampang di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Noraliza berkata, beliau dimaklumkan mengenai keadaan Ammar selepas kawan anaknya itu datang ke rumah memaklumkan mengenai mangsa telah hanyut.

Jelasnya, Ammar merupakan seorang anak yang manja, ringan tulang dan bertanggungjawab dengan adik-beradiknya.

"Ammar pernah berpesan dengan saya supaya jangan tinggalkan dia kerana anak lelaki saya itu tidak mahu tinggal di rumah anak yatim.

"Saya meminta Ammar mendoakan saya panjang umur, namun tidak disangka dia pergi dulu," katanya.

Sementara itu, ayahnya, Wan Mohd Noor Hafizan berkata, beliau kerap menasihati anaknya itu supaya tidak bermain hujan dan tidak keluar dari kawasan Apartmen Sri Puteri, di sini.

"Dia ada minta kebenaran nak bermain dengan kawan dia tetapi saya tidak tahu bila dia keluar bermain di luar kawasan apartmen (ketika kejadian).

"Saya tidak kisah jika nak main air hujan tapi saya banyak kali pesan supaya main hujan dalam kawasan apartmen sahaja," katanya.

Wan Mohd Noor Hafizan bagaimanapun memberitahu beliau reda dengan ketentuan tersebut.

"Saya sebak bila melihat isteri tidak berhenti menangis selepas menerima berita pemergian anak,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik.

Pada Sabtu, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.

Mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar berusia lapan tahun ditemui jam 6.30 petang tadi pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh, manakala mangsa kedua, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie, 10, dilaporkan masih hilang.

Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (Op SAR) mangsa kedua ditangguhkan sementara berikutan keadaan gelap.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis dipetik berkata, Op SAR yang bermula jam 5.08 petang tadi itu ditangguhkan jam 8.15 malam Sabtu.