Penduduk luar bandar, peniaga mikro guna e-duit

Marzunisham (kanan) menggunakan pembayaran tanpa tunai ketika membeli barang jualan di Pasar Pekan Sehari Jeniang di Kedah pada Isnin.
Marzunisham (kanan) menggunakan pembayaran tanpa tunai ketika membeli barang jualan di Pasar Pekan Sehari Jeniang di Kedah pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pembayaran secara elektronik atau tanpa tunai bukan sahaja dilaksanakan di kawasan pusat bandar atau lokasi tumpuan semata-mata malah kini sudah pun diamalkan penduduk luar bandar dan peniaga mikro.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar berkata, dalam dunia digital hari ini, penduduk luar bandar dan usahawan mikro seharusnya tidak ketinggalan dalam menggunakan pembayaran secara elektronik atau e-pembayaran yang menawarkan pelbagai manfaat.

"Pandemik Covid-19 baru-baru ini telah menunjukkan lebih ramai pengguna dan peniaga mula membiasakan diri menggunakan pelbagai kemudahan e-pembayaran seperti kad debit, kad kredit, kod QR, perbankan internet serta e-dompet.

"Sebagai alternatif kepada wang tunai, e-pembayaran dapat membantu orang ramai dalam menjimatkan masa dan tenaga untuk membuat transaksi tanpa perlu keluar rumah, bersusah payah mencari tempat letak kenderaan, dan beratur panjang semata-mata untuk mengeluarkan wang tunai di bank," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program e-Duit Desa di Pasar Pekan Sehari Jeniang pada Isnin.

Jelasnya, BNM telah bekerjasama dengan industri dan melancarkan kempen dengan tiga objektif utama antaranya meningkatkan kesedaran orang ramai, membina keyakinan terhadap pembayaran tanpa tunai, mempercepatkan penggunaan dan meningkatkan bilangan transaksi.

"Di kawasan luar bandar, penggunaan tanpa tunai atau juga dipanggil e-duit semakin meningkat dan kita akan sentiasa turun padang untuk memastikan peningkatan yang lebih tinggi lagi, salah satu usaha kita ialah utk meningkatkan kesedaran dan pengajaran kepada org ramai supaya menggunakan kedah ini secara selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed berkata, untuk memudahkan pengurusan kewangan perniagaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana, Bank Islam menyediakan aplikasi Go Biz by Bank Islam.

Menurutnya, melalui kaedah itu, mereka boleh menerima pembayaran tanpa tunai dengan cara DuitNow QR daripada pelanggan.

"Program e-Duit Desa yang diperluaskan di Jeniang bertujuan menjadikan pekan ini sebuah Desa Tanpa Tunai dengan menggalakkan peniaga menggunakan kaedah Go Biz dan DuitNow QR untuk urusan perniagaan harian mereka.

"Terima kasih kepada 107 peniaga di pekan Jeniang atas kesediaan menerima perubahan dan menerapkan teknologi dalam perniagaan," katanya.

Selain itu, Pegawai Kewangan Negeri, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat berkata, pelancaran Program e-Duit Desa di Pasar Pekan Sehari Jeniang merupakan yang pertama di Kedah dan berhasrat mengembangkannya di lokasi lain di negeri ini pada masa akan datang.