Pengarah syarikat dituduh kemuka invois palsu RM550

Kamal (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, bagi menghadapi pertuduan mengemukakan invois palsu berjumlah RM550, lima tahun lalu.
Kamal (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin, bagi menghadapi pertuduan mengemukakan invois palsu berjumlah RM550, lima tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat yang mengendalikan kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan hawa dingin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan termasuk pilihan, mengemukakan invois palsu berjumlah RM550, lima tahun lalu.

Kamal Karim, 49, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan utama, dia dituduh memperdayakan seorang pegawai kewangan di Bahagian Pembayaran Operasi Berpusat (BPOB), Pejabat Bursar, UPM Serdang, suatu invois bagi kerja membaiki penyaman udara di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) tanpa pesanan belian berjumlah RM4,150.

Sedangkan, prinsipalnya iaitu Pejabat Bursar, UPM Serdang, di sini mempunyai kepentingan mengenainya dan mengandungi butir matan palsu iaitu pembekalan dan pemasangan ekzos ‘fan’ 10 inci.

Ia membabitkan kerja pemasangan dan pendawaian (jenama KDK atau setaraf) di surau perempuan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM Serdang, pada 21 Oktober 2018.

Hakikatnya, kerja pembekalan dan pemasangan barang berjumlah RM550 tidak dibekalkan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai palsu itu atau berbentuk wang RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan, dia didakwa dengan curangnya menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu invois bagi kerja membaiki penyaman udara, tanpa pesanan belian berjumlah RM4,150 kepada ejen yang sama.

Sedangkan sebahagian barang itu tidak dibekalkan kerana diketahui suatu dokumen palsu, di lokasi dan tarikh serupa.

Pertuduhan dibuat bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berdekatan.

Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shalehhuddin Salam.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan sebagaimana dicadangkan pendakwaan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 14 Mac depan.