Operasi feri Kuala Perlis-Langkawi dihentikan sementara


Operasi feri Kuala Perlis-Langkawi dihentikan sementara pada 1 dan 2 Mac depan.
Operasi feri Kuala Perlis-Langkawi dihentikan sementara pada 1 dan 2 Mac depan.
A
A
A

ALOR SETAR - Perkhidmatan feri bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Perlis ke pulau peranginan itu terpaksa dihentikan sementara waktu pada 1 Mac dan 2 Mac nanti.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, ia berikutan paras air laut di alur pelayaran Kuala Perlis berada di bawah 1.6 meter (m) yang memungkinkan tidak selamat untuk dimasuki oleh feri pada tarikh tersebut.

Beliau memberitahu, penumpang dinasihatkan menggunakan laluan Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Kedah ke Langkawi dalam tempoh dua hari itu.

"Bagi laluan Langkawi ke Kuala Kedah, terdapat lima jadual pelayaran iaitu 7.30 pagi, 10 pagi, 1 petang, 4 petang dan 7 petang.

"Untuk laluan Kuala Kedah ke Langkawi, jadual pelayaran pada 1 dan 2 Mac itu bermula dari jam 7 pagi,10.30 pagi, 1 petang, 4 petang dan 7 malam,"katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Baharin menyatakan, semakan dan tempahan tiket feri secara atas talian boleh dilakukan melalui aplikasi Cuti-Cuti Langkawi.